Penerima vaksin di fasiliti swasta tidak dikenakan caj - Utusan Malaysia

Penerima vaksin di fasiliti swasta tidak dikenakan caj

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana individu yang mendapat temu janji untuk menerima vaksin Covid-19 di fasiliti swasta yang dikenal pasti sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tidak akan dikenakan sebarang caj.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, sejumlah hospital dan klinik swasta akan terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan termasuk menyenaraikan pengamal perubatan swasta (GP) bagi membantu program tersebut.

Beliau menjelaskan, perkara itu antara intipati perjumpaan dengan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) pada Rabu ini.

“Sesiapa yang dapat temu janji di hospital atau klinik swasta tidak perlu bayar apa-apa caj kerana kosnya dibayar kerajaan.

“Penerima vaksin itu akan dihantar ke PPV yang berhampiran berdasarkan alamat mereka. Kalau PPV fasiliti swasta itu paling berhampiran, mereka akan pergi sana berdasarkan lokasi,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, di sini hari ini.

Khairy turut memberitahu, beliau juga mengadakan program outreach dengan kumpulan tertentu seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pemberian vaksin kepada bukan warganegara selain telah melaksanakan libat urus bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk strategi kepada rakyat orang asli.

Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pula bertanggungjawab sebagai agensi penyelaras di peringkat akar umbi dan menggerakkan rangkaian di kawasan luar bandar termasuk pendaftaran penyertaan vaksin dari rumah ke rumah.

Ini termasuk, jelasnya, bantuan daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui program info on wheel bagi meningkatkan kesedaran berhubung pemberian vaksin.

“Kita turut menyebarkan mesej kepada kumpulan berisiko tinggi dan warga emas melalui doktor yang merawat pesakit mereka dengan memberi nasihat dan menggalakkan mereka mendaftar untuk vaksin.

“Pelaksanaan ini mengambil sedikit masa, kita rasa kalau doktor boleh nasihat pesakit mereka sendiri ia akan meningkatkan jumlah pendaftaran termasuk meminta kerjasama Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu kempen pendaftaran warga emas yang mengerakkan pusat aktiviti warga emas,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya