Penempatan semula nelayan Pangkor selesai tempoh terdekat - Utusan Malaysia

Penempatan semula nelayan Pangkor selesai tempoh terdekat

KEADAAN pangsapuri untuk nelayan melalui Program Penempatan Semula Nelayan (PNS) di Teluk Bharu, Pulau Pangkor. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kerajaan negeri yakin Program Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Pangsapuri Teluk Bharu di Pulau Pangkor dapat dimuktamadkan sepenuhnya selewat-lewatnya bulan depan.

Ketika ini, pangsapuri 139 unit bernilai RM16 juta yang mula dibina pada 2014 dan siap empat tahun kemudian hanya dihuni 37 keluarga manakala 102 unit lagi masih kosong.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, sehingga kini, sebanyak 86 permohonan untuk menghuni pangsapuri itu sudah diterima.

“Senarai nama yang layak menduduki pangsapuri ini sudah ada, jadi jawatan kuasa khas yang turut dianggotai pemimpin setempat dan wakil rakyat di sini, akan buat pemilihan dan keputusan.

“Ia bagi memastikan hanya golongan nelayan sahaja menduduki pangsapuri ini,” katanya kepada  pemberita selepas meninjau pangsapuri tersebut di Teluk Bharu, Pulau Pangkor di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak, Mohamad Rizal Sahari dan Pegawai Daerah Manjung, Zulhisham Ahmad Shukori.

Pangsapuri PSN Teluk Bharu yang berkeluasan 860 kaki persegi atau 262.7 meter persegi setiap unit serta mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air berharga RM45,000 seunit, bertujuan menempatkan semula keluarga nelayan di Pulau Pangkor khususnya di Kampung Teluk Bharu.

Razman berkata, mereka yang menduduki pangsapuri itu hanya perlu membuat bayaran bulanan RM150 selama 25 tahun, sebelum ia menjadi hak milik sepenuhnya penghuninya.

Beliau berkata, buat masa ini pangsapuri itu hanya ditawarkan kepada nelayan generasi pertama di Pulau Pangkor dengan LKIM bertindak sebagai penyelaras program PSN itu.

Menurut beliau, syarat utama bagi menduduki pangsapuri tersebut ialah mesti menjadi ahli persatuan nelayan kawasan Pulau Pangkor atau diiktiraf nelayan tulen di bawah Seksyen 11(1)A Akta LKIM 1971.

“Ikut perancangan, kita mahu ia diselesaikan secepat mungkin, diharapkan senarai nama yang layak boleh dimuktamadkan bulan ini dan surat tawaran boleh dikeluarkan selewat-lewatnya bulan depan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN