Penempatan baharu penduduk Bukit Malut bukan di lokasi asal - Utusan Malaysia

Penempatan baharu penduduk Bukit Malut bukan di lokasi asal

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (tengah) melihat pertukaran dokumen Perjanjian Usaha Sama Projek Pembangunan Litar Lumba dan Resort Bersepadu Open Road antara Abdul Rahman Din (kiri) dan David Goh di Alor Setat, hari ini. -UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penempatan baharu penduduk warga Myanmar di Bukit Malut, Langkawi dekat sini tidak akan melibatkan lokasi asal yang didiami secara haram di tanah kerajaan negeri ketika ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor menjelaskan, penduduk terlibat sebaliknya dirancang untuk dipindahkan di dua lokasi berhampiran di atas tanah milik Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Menurutnya, kerajaan negeri telah menyatakan persetujuan terhadap cadangan tersebut dan hanya menanti tindakan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memindahkan mereka yang terlibat.

“Di pihak kerajaan negeri, kita bersedia memberi kerjasama, tetapi kos untuk bina rumah dan kemudahan di tempat baharu itu perlu ditanggung Persekutuan kerana ‘projek’ asal rancangan itu sememangnya melibatkan kerajaan Persekutuan sejak lama dulu.

“Malah, ketika ini pun segala maklumat mengenai golongan itu seperti dokumen pendaftaran, perjalanan dan kerakyatan berada di MKN.

“Kerajaan negeri tiada rekod mengenainya tetapi apa yang kita tahu, kesemua mereka memiliki Mykad dan merupakan warganegara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Usaha Sama Projek Pembangunan Litar Lumba dan Resort Bersepadu Open Road di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif, Permodalan Kedah Bhd. (PKB), Abdul Rahman Din serta Pengasas dan Penasihat Kumpulan Open Road Asia, Datuk David Goh.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu berkata, penempatan penduduk di Bukit Malut bakal berubah wajah menjadi perkampungan baharu tersusun dilengkapi kemudahan asas untuk keselesaan penduduk.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, tanah di kawasan tersebut akan disusun semula dengan menyediakan lot-lot baharu sebelum dijual kepada penduduk.

Sebelum itu, akhbar ini melaporkan warganegara Myanmar kebal sehinggakan sampai hari ini belum ada tindakan terhadap penempatan haram penduduk terlibat yang makin membarah di Bukit Malut di sini.

Lebih 10,000 warganegara Myanmar yang mendiami kawasan Bukit Malut berterusan menceroboh tanah kerajaan negeri hingga mencemar imej Langkawi sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

Dianggarkan kira-kira 2,500 buah rumah didirikan secara haram di penempatan yang sinonim dengan gelaran “Little Myanmar’ itu, yang turut mengancam ekologi alam sekitar khususnya kawasan paya bakau di pesisir pantai pulau legenda tersebut.

Ketika ini penempatan haram tersebut berada di atas tanah milik beberapa syarikat dan agensi termasuk Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, sama ada mereka bersetuju atau tidak, penduduk di penempatan haram itu tetap perlu berpindah ke kawasan yang ditetapkan nanti.

“Seperti rakyat Malaysia lain, golongan itu juga perlu beli rumah yang didirikan di lokasi disediakan untuk mereka nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa di Langkawi supaya bertindak terhadap sebarang kemunculan penempatan haram baharu di pulau legenda itu.

“Kita tak mahu supaya penempatan di Bukit Malut ini merebak dan berkembang. Justeru kita telah mengarahkan semua penempatan haram baharu di Langkawi diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

“Kini saya difahamkan pihak Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi telah memulakan proses menguatkuasakan undang-undang itu,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya