Penduduk Orang Asli Jeram Padang mahu pertindihan tanah diselesaikan - Utusan Malaysia

Penduduk Orang Asli Jeram Padang mahu pertindihan tanah diselesaikan

MOHD. Salim Mohd. Sharif mengadakan pertemuan dengan penduduk di Kampung Orang Asli Jeram Padang, Jempol bagi mendapatkan maklum balas berhubung isu pertindihan tanah melibatkan penduduk di situ dengan sebuah syarikat pemaju hartanah. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Penduduk Kampung Orang Asli Jeram Padang mahu isu pertindihan tanah yang melibatkan projek tanaman semula berkelompok (TSB) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang disertai mereka dengan sebuah syarikat pemaju hartanah dapat diselesaikan dengan cara baik.

Tok Batin kampung tersebut yang juga pengerusi projek berkenaan, Azhar Dal menjelaskan, tapak projek TSB tersebut merupakan kawasan tanah adat penduduk Orang Asli di kampung berkenaan.

Namun katanya, berlaku isu pertindihan selepas mereka dimaklumkan tanah itu merupakan tanah bergeran milik syarikat pemaju hartanah tersebut.

“Harapan kami yang juga peserta TSB mahu perkara ini diselesaikan cara baik, kawasan ini dulu ada kubur, ada dusun buah-buahan. Kami tidak menceroboh tanah sesiapa kerana ini daripada nenek moyang, cuma kami tidak punya geran tetapi kami ada pelan besar, kami duduk di sini sahaja tidak pindah ke mana-mana.

“Kini timbul isu pihak syarikat tersebut bahawa kami menceroboh tanah mereka, bila kami menceroboh? Kami penduduk menjalankan projek TSB ini selepas mendapat kelulusan daripada pihak pejabat tanah, mereka memberitahu tiada halangan, tetapi timbul isu ini, memang saya kesal dan terkilan kerana tujuan projek ini hanyalah supaya penduduk ada pendapatan tetap,” katanya.

Azhar berkata demikian kepada pemberita selepas pertemuan dengan Pengerusi Risda yang juga Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif di kampung berkenaan semalam.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk L. Manickam.

Sementara itu, Mohd. Salim berkata, Risda telah memperuntukkan RM1.26 juta bagi projek TSB seluas 185 hektar yang bermula pada 2018 dan membabitkan 135 peserta iaitu penduduk di kampung berkenaan.

Bagaimanapun jelas beliau, dalam keluasan projek berkenaan berlaku pertindihan tanah seluas kira-kira 33 hektar dengan tanah milik sebuah syarikat pemaju hartanah.

Jelasnya, sebahagian tanah lagi iaitu seluas kira-kira 11 hektar pula adalah milik Yayasan Negeri Sembilan (YNS).

“Dalam tempoh tiga tahun, isu ini tidak berbangkit namun apabila pokok getah yang ditanam dalam projek ini telah membesar maka timbul pula tuntutan daripada pihak syarikat tersebut yang turut membuat laporan polis terhadap pengusaha dan peserta projek dengan mendakwa tanah itu milik mereka.

“Pihak Risda kecewa dalam hal ini kerana projek tersebut telah mendapat kelulusan Pejabat Tanah dan Daerah Jempol, mereka kena bertanggungjawab kerana tidak menyiasat status tanah tersebut sebelum memberikan kelulusan. Jika pejabat tanah tidak keluarkan surat kelulusan tersebut, kami (Risda) juga tidak akan mengeluarkan peruntukan dengan sebegini banyak, tentunya kami memerlukan hitam putih untuk keluarkan peruntukan,” katanya.

Menurut Mohd. Salim, perkara tersebut telah dibawa ke pengetahuan Menteri Besar Negeri Sembilan dan kerajaan negeri telah bersetuju menyerahkan tanah milik mereka untuk diusahakan peserta projek namun isu kini timbul melibatkan syarikat pemaju tanah berkenaan.

“Syarikat itu tidak mahu tarik diri dan tetap menyatakan tanah itu adalah milik mereka dan meminta Orang Asli yang perlu keluar dari tanah berkenaan, ini percanggahannya. Syarikat kena serahkan kembali tanah itu kepada kerajaan negeri, mereka tidak majukan apa-apa lagi di tanah tersebut malah mereka memilikinya dengan harga premium yang cukup rendah.

“Jika di peringkat ketika ini, isu tidak dapat diselesaikan, saya fikir aduan perlu dibuat terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya nasib penduduk Orang Asli dapat dibela malah Risda juga telah keluarkan peruntukan yang cukup besar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya