Penduduk minta bina lampu isyarat atau bulatan di 'simpang tiga maut' Permas Jaya - Utusan Malaysia

Penduduk minta bina lampu isyarat atau bulatan di ‘simpang tiga maut’ Permas Jaya

PENDUDUK setempat memohon MBJB untuk membina lampu isyarat atau bulatan di persimpangan Jalan Permas Utara 1, yang kini dikenali sebagai 'simpang tiga maut'.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kami Prihatin akan menyerahkan permohonan kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk membina sama ada lampu trafik atau bulatan di persimpangan Jalan Permas Utara 1, berhampiran pasar raya Econsave, di sini.

Penasihatnya, Syed Othman Syed Abdullah berkata, permohonan itu dibuat ekoran kadar kemalangan tinggi yang direkodkan di persimpangan itu.

Menurutnya, akibat daripada itu, persimpangan tersebut telah dikenali dengan nama ‘simpang tiga maut’ oleh penduduk setempat.

“Ketika ini, terdapat projek pembinaan jalan sepanjang 3.5 kilometer di kawasan ini, jadi kami berharap cadangan untuk membina lampu isyarat atau bulatan di persimpangan itu akan disertakan.

“Cadangan berhubung perkara ini akan kami serahkan kepada Bahagian Kejuruteraan MBJB untuk diteliti mereka, dan kami berharap ia akan dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar yang diadakan pihaknya, di sini hari ini.

Tambah beliau, projek menaiktaraf laluan di kawasan berkenaan telah dimulakan sejak 2018 dan pihaknya difahamkan ia sudah mencecah tahap 90 peratus pelaksanaannya.

“Semasa projek ini dimulakan dahulu, ia hanya melibatkan usaha menaiktaraf jalan dan tidak disertakan pemasangan lampu isyarat atau pembinaan bulatan.

“Namun kini kawasan ini sudah semakin sibuk dan dalam tempoh tidak terlalu lama, saya telah menerima 53 aduan daripada penduduk yang mahukan lampu isyarat dibina di kawasan ini,” ujarnya.

Tambah beliau, cadangan itu dilihat relevan kerana kawasan berkenaan menempatkan 400 kediaman yang dianggarkan melibatkan seramai lebih 2,000 penduduk yang menggunakan persimpangan itu dengan kerap.

Sementara itu, salah seorang penduduk setempat yang ditemui, S. Ravinder, 43, memberitahu, dia menganggarkan sebanyak lima kemalangan berlaku di persimpangan itu dalam tempoh sebulan.

“Kemalangan biasanya terjadi disebabkan kenderaan yang agak laju dari arah Plentong menuju ke Permas Jaya.

“Disebabkan tiada lampu isyarat di simpang ini, pemandu sama ada memandu laju atau berhenti dengan mengejut, sehingga mengakibatkan kemalangan berlaku,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Chong Mei Khuun, 58, pula memberitahu, dia antara individu yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di persimpangan itu baru-baru ini.

Sehubungan itu pihaknya turut merayu agar cadangan pembinaan lampu isyarat atau bulatan tersebut akan diterima MBJB dan dilaksanakan dalam waktu terdekat. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN