Penduduk kecewa SADA gagal hantar bekalan air - Utusan Malaysia

Penduduk kecewa SADA gagal hantar bekalan air

BEBERAPA penduduk menunjukkan tong dan bekas simpanan air yang kosong apabila SADA gagal menghantar bekalan air di Harvard Suasana Resort, Bedong, Sungai Petani hari ini.-UTUSAN/ OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Lebih 250 penduduk di Harvard Suasana Resort (HSR) di Bedong sini kecewa terhadap Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang gagal menghantar bekalan air bersih selepas berlaku gangguan bekalan air di kawasan tersebut sejak Jumaat lalu.

Penduduk mendakwa, masalah gangguan bekalan air itu telah dilaporkan kepada SADA, namun, tiada tindakan diambil sehingga menimbulkan kesulitan kepada penduduk menjalani kehidupan seharian.

Keadaan tersebut menyebabkan penduduk terlibat terpaksa membeli dan mengangkut air dari luar kawasan kampung tersebut untuk kegunaan harian.

Pengerusi Persatuan Penduduk HSR, Razaman Abd. Ghani, 59, berkata, masalah gangguan bekalan air di kampung ini telah dilaporkan kepada SADA dan meminta bekalan air bersih dihantar segera untuk kegunaan harian penduduk.

Bagaimanapun, katanya, pihak SADA masih tidak menghantar bekalan air walaupun gangguan bekalan air telah berlarutan sejak Jumaat lalu.

“Penduduk di sini kesal apabila pihak SADA memberi pelbagai alasan seperti ketiadaan lori dan bekalan air dihantar ke kawasan lain terlebih dahulu.

“Pihak SADA sepatutnya sentiasa bersiap sedia pada setiap masa untuk menghantar bekalan air selepas menerima laporan gangguan bekalan air di kawasan-kawasan terlibat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Suri rumah, Khairani Mohd. Kassim, 46, berkata, dia menghadapi banyak kesulitan berikutan tiada bekalan air dalam tempoh yang agak lama ini.

“Selain kegunaan membasuh baju, pinggan mangkuk, bekalan air juga penting untuk anak-anak mandi sebelum dan sewaktu pulang dari sekolah.

“Jika anak empat orang macam saya, tentu berdepan banyak kesukaran untuk menjalani kehidupan seharian,” katanya.

Seorang peniaga, S. Raja Kumaran, 65, pula berkata, dia terpaksa pergi ke rumah saudaranya di Sungai Petani untuk mandi dan mendapatkan bekalan air pada setiap hari.

“Sepatutnya SADA prihatin dengan menghantar bekalan air walaupun hanya sekali sahaja sehari untuk kegunaan penduduk,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN