Penduduk harap projek infrastruktur diteruskan - Utusan Malaysia

Penduduk harap projek infrastruktur diteruskan

SHAHRUL ZAMAN YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Pembinaan beberapa projek infrastruktur di Daerah Bagan Datuk sebelum ini dibatalkan dan ditangguhkan selepas perubahan kerajaan pada tahun 2018 tetapi akhirnya ada di antaranya yang disambung semula.

Namun, Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini membangkitkan dalam laman Facebook beliau mengenai pembinaan projek berkenaan seperti kerja-kerja pembinaan jalan raya empat lorong dari pekan Simpang Empat, Hutan Melintang ke Parit 19 di sini yang masih berjalan tetap perlahan.

Mengulas perkara yang dibangkitkan Ahmad Zahid itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya mengharapkan supaya kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dapat mempertimbangkan untuk meneruskan projek-projek pembangunan inftrastruktur untuk rakyat yang telah dibatalkan sebelum ini.

Menurutnya, selepas perubahan kerajaan pada pada tahun 2018, dianggarkan 52 peratus projek infrastruktur di Bagan Datuk diluluskan seperti pembinaan jalan raya, kompleks sukan, jambatan, politeknik, klinik kesihatan, Bagan Datuk Water City, balai bomba daerah dan kem askar namun kemudian ada di antaranya yang telah dibatalkan atau pun ditangguhkan.

“Projek-projek berkenaan adalah untuk rakyat di Bagan Datuk terutama jalan raya dari Pekan Simpang Empat di sini untuk keselesaan dan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

“Begitu juga jambatan dari pekan Bagan Datuk ke Kampung Sejagop ke Daerah Perak Tengah yang sedang dalam pembinaan, ia akan merancakkan lagi pembangunan di sini.

“Kita harap kerajaan Persekutuan dapat meneruskan semula projek-projek yang telah ditangguh atau dibatalkan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, penduduk di sini juga mengharapkan perkara yang sama supaya kemajuan Daerah Bagan Datuk setanding dengan daerah lain.

Lee Teng Kool, 60, berkata, dia sudah lama mahu melihat pembangunan di Bagan Datuk terutama dari segi ekonominya berkembang.

“Untuk itu, dalam aspek pembangunan melibatkan projek yang besar di sini ia wajar diteruskan untuk rakyat,” katanya.

Zainab Saari,71, berkata, dia gembira apabila banyak projek pembangunan dibawa ke sini semasa Ahmad Zahid menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Namun saya kecewa apabila ia kemudiannya dibatalkan. Saya berharap pembangunan yang dirancang diteruskan,” katanya.

R. Ramanaidu, 63, berkata, projek yang dirancang adalah untuk kemudahan rakyat dan tidak sepatutnya dibatalkan.

“Saya berharap pembinaan jalan menghubungkan Sabak Bernam, Selangor ke Bagan Datuk dan terus ke jambatan Bagan Datuk ke Sejagop dapat disiapkan untuk kemudahan kami,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN