Penduduk gembira dapat  menyewa rumah PPR - Utusan Malaysia

Penduduk gembira dapat  menyewa rumah PPR

SAARANI Mohamad (dua dari kiri) bersama penerima surat tawaran dan replika kunci untuk mendiami PPR Conolly Jalan Pasir Puteh di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lima penerima surat tawaran bagi mendiami unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Rumah Pangsa Conolly di Jalan Pasir Puteh di sini menzahirkan kegembiraan apabila dapat menyewa kediaman tersebut pada kadar sewa yang sangat berpatutan sekali gus meringankan beban kewangan mereka.

Seorang daripada mereka, Mohd. Azrul Azmi, 28, berkata, ketika ini dia tinggal menumpang di rumah keluarga mentua di Desa Pelancongan di sini bersama isteri dan tiga anak yang masih kecil sejak enam tahun lalu.

Katanya, peluang untuk tinggal di kediaman lain memang menjadi hasratnya sekeluarga, tetapi tertangguh disebabkan masalah kewangan.

“Saya memohon unit PPR di sini pada tahun lalu dan bersyukur apabila permohonan diluluskan manakala prosesnya pula mudah.

“Dengan kadar sewa sebanyak RM100 sebulan, ia tidaklah membebankan bagi saya yang berniaga dalam talian secara kecil-kecilan manakala isteri pula suri rumah,”  katanya.

Bagi ibu tunggal, Rokiah Md. Sapi, 50, pula, dia tidak menyangka panggilan telefon yang diterima daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) pada petang Jumaat lalu membawa berita gembira kerana dipilih untuk menyewa unit PPR berkenaan.

Dia yang mempunyai empat orang anak berusia 10 tahun hingga 28 tahun 

menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri Perak serta pihak-pihak terlibat yang telah berusaha bagi memastikan golongan berpendapatan kecil sepertinya berpeluang mendiami rumah yang selesa.

“Sudah tentu saya gembira dan bersyukur kerana pada hari ini menerima surat tawaran untuk menyewa di sini. Kalau boleh saya nak berpindah secepat mungkin kerana rumah sewa sekarang bayarannya RM450 sebulan.

“Saya juga berasa amat terharu kerana walaupun pandemik Covid-19 masih belum berakhir tetapi proses permohonan berjalan lancar dan mudah tanpa karenah birokrasi,” ujarnya.

Terdahulu, kesemua mereka menerima surat tawaran dan replika kunci rumah yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad pada Majlis Gotong Royong Bersama Menteri Besar Perak di rumah pangsa itu hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan neger, Datuk Nolee Ashilin Mohamad Radzi dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

PPR Rumah Pangsa Conolly di Jalan Pasir Puteh mempunyai 430 unit kediaman yang diuruskan oleh LPHP dengan keutamaan kepada golongan yang berpendapatan tidak melebihi RM3,000. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya