MARAN: Penduduk daripada empat tanah rancangan Felda Wilayah Jengka terkejut apabila perkampungan mereka dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula hari ini.
Rancangan terbabit ialah Felda Jengka Satu, Felda Jengka Dua, Felda Jengka 7 dan Felda Hulu Jempol yang dikenakan PKPD sehingga 15 Mac ini.
Ketua Kampung Felda Jengka Satu, Abdullah Ani mengakui agak terkejut kerana kawasan tanah rancangan berkenaan dikenakan PKPD.
Menurutnya, berdasarkan pengetahuannya, hanya dua orang pekerja sebuah kilang di situ disahkan positif Covid-19 beberapa hari lalu.
“Bagaimanapun kami akur dengan keputusan Kementerian Kesihatan kerana tentunya merek lebih pakar dalam perkara berkenaan.
“Ketika ini penduduk menjalani ujian saringan secara berperingkat bagi mengesan individu bergejala,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ketua Kampung Jengka 7, Ahmad Zubir Abdul Rahim pula berkata, tiada makluman awal diberikan oleh pihak berkenaan kepada pentadbiran kampung.
“Ia agak mencemaskan penduduk di kawasan ini seolah-olah banyak kes positif Covid-19 dalam kalangan penduduk rancangan ini,” katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun PKPD yang dikenakan di situ membolehkan setiap penduduk menjalani ujian saringan Covid-19.
“Walaupun cemas dengan situasi ini tetapi dalam jangka panjang sangat baik dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19,” katanya.