Penduduk cemas bumbung rumah diterbangkan puting beliung - Utusan Malaysia

Penduduk cemas bumbung rumah diterbangkan puting beliung

KEADAAN rumah Som Saad di Kampung Kuala Sedaka yang rosak teruk selepas bumbung rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian ribut petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Penduduk di lima kampung di sini melalui detik-detik cemas apabila puting beliung yang yang menakutkan telah membadai kampung mereka, petang semalam.

Sebanyak 15 buah rumah dan sebuah masjid di lima kampung itu mengalami kerosakan di bahagian bumbung dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu.

Mangsa, Som Saad, 52, dari Kampung Kuala Sedaka berkata, semua bahagian bumbung rumahnya diterbangkan puting beliung tersebut dalam masa kira-kira satu minit sahaja.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika dia sedang berehat bersama dua anak perempuan berumur 20 dan 15 tahun serta seorang anak lelaki berumur 22 tahun di luar rumahnya selepas selesai makan tengah hari.

Bagaimanapun, menurutnya, dia terkejut apabila secara tiba-tiba puting beliung yang luar biasa melanda kawasan kampung tersebut.

“Pada masa sama, saya melihat dua gumpalan angin hitam yang dikenali sebagai ‘kepala
ribut’ bercantum dari kiri dan kanan dan bergerak ke arah rumah saya.

“Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, saya kemudian mengarahkan semua anak-anak saya masuk ke dalam rumah untuk berlindung,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Som menambah, dia selepas mendapati deruman angin yang kuat itu telah mengangkat bumbung rumah dan menerbangkannya sejauh lebih tiga meter.

“Selepas bumbung diterbangkan angin, hujan pula mencurah-curah menyebabkan rumah yang telah didiami sejak lebih 30 tahun ini digenangi air,” katanya.

Sebanyak empat buah rumah penduduk di Kuala Sedaka mengalami kerosakan teruk dalam kejadian tersebut.

Kampung-kampung lain yang terlibat ialah Kampung Kuala Sungai Kering melibatkan enam rumah dan sebuah masjid, Kampung Selengkoh (sebuah rumah), Kampung Kabu 10 (tiga rumah) dan Kampung Hutan Gelam (sebuah rumah).

Sementara itu, Siti Aisyah Man, 67, juga dari kampung Kuala Sedaka berkata, kejadian ribut itu
merupakan kali pertama berlaku di kampung tersebut.

“Sepanjang umur saya, inilah kali pertama saya melihat sendiri apa yang dipanggil ‘kepala
ribut’ kerana ia berlaku depan mata saya sebelum menerbangkan bumbung rumah.

“Ribut tersebut datang sekelip mata dan menerbangkan sekali kerangka bumbung termasuk bumbung di garaj menempatkan kereta,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya