Pendakwaan tutup kes Ahmad Zahid selepas kemuka keterangan 99 saksi - Utusan Malaysia

Pendakwaan tutup kes Ahmad Zahid selepas kemuka keterangan 99 saksi

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menutup kesnya hari ini selepas mengemukakan keterangan 99 saksi di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Collin Lawrence Sequerah selesai mendengar keterangan saksi pendakwaan terakhir iaitu pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Kanan Penguasa Khairudin Kilau, 44, pada hari ke-53 perbicaraan.

Mahkamah menetapkan penghujahan kedua-dua belah pihak didengar selama lima hari bermula 28 Jun ini manakala penghujahan bertulis difailkan pada 28 Mei dan hujahan balas difailkan pada 11 Jun.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran ketika memaklumkan pihak pendakwaan menutup kes, turut menawarkan 37 saksi kepada pihak pembelaan.

Mereka termasuk ahli keluarga bekas Timbalan Perdana Menteri iaitu isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis dan anak perempuan mereka Datuk Nurulhidayah.

Saksi-saksi lain termasuk adik Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi, ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan beberapa pegawai di Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ahmad Zahid, 68, sedang dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya