KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat menafikan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pendakwaan terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melibatkan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, bermotif politik ekoran pembentukan kerajaan baharu oleh Pakatan Harapan (PH).
Penolong Kanan Penguasa Khairudin Kilau berkata, sebaliknya pertuduhan yang dicadangkan kepada pendakwa raya berdasarkan kepada keterangan saksi-saksi dan dokumentasi hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketika disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, saksi pendakwaan ke-99 itu menjelaskan, siasatan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu sama sekali bukan bertujuan menjatuhkan reputasi beliau selaku Presiden UMNO.
Sebelum itu, dalam pemeriksaan balas yang dikendalikan oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik, Khairudin, 44, ditanya sama ada dia bersetuju bahawa 47 pertuduhan termasuk 12 kesalahan berkaitan pecah amanah yang dikemukakan terhadap Ahmad Zahid adalah tidak berasas dari segi fakta dan undang-undang dan hanya bersandarkan kepada motif politik.
Saksi akhir pendakwaan itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Khairudin juga menafikan cadangan pembelaan bahawa semua pertuduhan itu dikemukakan ekoran berlaku pertukaran kerajaan yang mana sesiapapun jika didakwa, namanya akan terjejas.
Menurut saksi, walaupun bersetuju pada masa material Ahmad Zahid merupakan Presiden UMNO, namun dia tidak bersetuju pertuduhan tersebut dikemukakan kerana jawatan yang dipegang oleh beliau selaku pemimpin parti politik.
Pada sesi pemeriksaan balas, pegawai penyiasat itu berkata, sepanjang 20 tahun perkhidmatannya, ini adalah kali pertama dia berdepan dengan situasi yang mana seorang ahli politik didakwa di mahkamah dengan pertuduhan sebanyak itu selepas kerajaan bertukar.
Ahmad Zahid, 68, sedang dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan
wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Menjawab soalan Raja Rozela, saksi menyatakan Setiausaha Yayasan Akalbudi, Mahinder Kaur tidak menerima beberapa dokumen penting untuk memfailkan laporan audit.
Khairudin menjelaskan, dokumen-dokumen itu ialah laporan kewangan yang disahkan oleh ahli-ahli lembaga pemegang amanah, dokumen kewangan seperti penyata bank, bil dan baucer serta minit mesyuarat dan resolusi yang dicapai ketika mesyuarat agung tahunan (AGM).
Ketika ditanya mengenai Yayasan Akalbudi, pegawai penyiasat menyatakan Ahmad Zahid memberitahunya bahawa dana yayasan itu berpunca daripada beliau.
Namun ujar saksi, tertuduh tidak pernah menjelaskan jumlah sumbangan yang tepat diperolehi oleh yayasan itu mahupun menunjukkan sebarang bukti berdokumen mengenainya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 28 Jun ini bagi mendengar penghujahan lisan kedua-dua pihak. – UTUSAN ONLINE