Penang E-Mall @ Shopee catat jualan RM583 juta - Utusan Malaysia

Penang E-Mall @ Shopee catat jualan RM583 juta

WELL Kam (kanan) bersama Tony Yeoh (kiri) melancarkan kempen Penang SME GO Digital di Bangunan Wisma Yeap Chor Ee, Georgetown pada hari ini. UTUSAN/ MOHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Platform e-dagang, Penang E-Mall @ Shopee berjaya mencatatkan hasil jualan amat memberangsangkan iaitu sebanyak RM583 juta dalam tempoh lapan bulan dilancarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Digital Penang, Tony Yeoh berkata, Penang E-Mall yang dilancarkan sejak Jun tahun lalu bagi membantu peniaga berdepan pandemik Covid-19 telah membantu lebih 15,000 peniaga negeri ini dalam proses pendigitalan perniagaan mereka.

“Daripada jumlah ini, lebih 10,000 ialah penjual e-dagang baharu dan dengan lebih 700 daripadanya menjual produk halal.

“Program ini ternyata membantu peniaga untuk meneroka pasaran digital dengan cara baharu memasarkan produk mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran Kempen Penang SME Go Digital di Digital Penang, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Sementa), Kam Lian Hooi.

Dalam perkembangan lain, Tony berkata, sebuah lagi program iaitu Kempen Digital Go Penang dirancang untuk membantu peniaga-peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memasarkan produk mereka secara digital.

“Kempen ini dijangka dimulakan akhir bulan ini selepas pihak Sementa melancarkan kempen ini secara rasmi.

“Kita menyasarkan 1,000 peniaga untuk menyertai Kempen Digital Go Penang ini dan peniaga PKS yang menyertainya akan diberikan geran sebanyak RM1,000 untuk membantu mereka memulakan perniagaan,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM1 juta untuk menyokong PKS melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1.

“Pulau Pinang harus kekal sebagai pusat ekonomi Malaysia dan menjadi contoh kepada negeri lain mengenai apa yang dapat dicapai dengan menggunakan teknologi.

“Pandemik Covid-19 telah menjadikan proses perniagaan semakin mencabar, tetapi tidak mustahil untuk peniaga beroleh kejayaan dengan platform digital,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN