ALOR GAJAH: Seorang pemuda melecur pada bahagian leher, belakang badan dan tangan selepas dibakar oleh rakannya yang menuduh mangsa mencuri telefon bimbit milik teman wanita suspek, di sebuah rumah di Taman Lendu Bakti di sini, semalam.
Mangsa yang berusia 23 tahun itu kini menerima rawatan lanjut di Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, sebelum kejadian, mangsa dipanggil ke rumah berkenaan oleh seorang lagi rakannya dikenali sebagai ‘Aki’ bagi membayar hutang.
Beliau berkata, mangsa bersama-sama Aki dan suspek kemudian mengakui berborak sambil menghisap dadah jenis syabu.
“Ketika berbual, timbul perselisihan faham antara mangsa dengan suspek berusia 29 tahun yang menuduh dia mencuri telefon bimbit milik kekasihnya.
“Suspek tiba-tiba bertindak mengambil minyak petrol dari tangki mesin gergaji rantai di rumah tersebut dan mencurahkannya ke arah mangsa sebelum menyalakan pemetik api lalu membaling ke badan rakannya itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Arshad berkata, mangsa turut mendakwa, suspek mengurungnya di dalam bilik utama rumah berkenaan sebelum kebakaran itu dapat dipadamkan.
“Selepas membakarnya, suspek mengurung mangsa di dalam sebuah bilik utama rumah tersebut.
“Mangsa kemudian masuk ke dalam bilik air untuk memadamkan api di baju dan mendapati beberapa bahagian anggota badannya serta kedua-dua tangan melecur,” jelasnya.
Tambahnya, suspek itu kemudian bertindak melarikan diri dan usaha mengesannya sedang dijalankan.
Pemeriksaan di lokasi, polis merampas gergaji rantai jenama STIHL MS180, sebuah beg sandang, telefon bimbit, sebatang cota kayu dan wang tunai sebanyak RM50.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah. – UTUSAN ONLINE