KUANTAN: Dirempuh dari arah belakang sebelum motosikal diseret kira-kira 1.5 kilometer.
Itu nasib menimpa seorang pekerja kilang, Muhammad Akmal Hakim, apabila motosikal ditungganginya dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu seorang lelaki mabuk dalam kejadian di Jalan Sungai Lembing, dekat sini, awal pagi tadi.
Mangsa berusia 22 tahun yang bekerja di sebuah kilang di kawasan perindustrian Gebeng di sini disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 1 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari arah pusat bandar menghala ke rumah ahli keluarganya di Kampung Padang.
“Pemandu MPV itu dipercayai memandu dalam keadaan laju sebelum merempuh motosikal dinaiki mangsa mengakibatkan mangsa terpelanting ke cermin hadapan kenderaan suspek.
“Suspek berusia 26 tahun itu kemudiannya menyeret motosikal mangsa dan terus memandu sejauh kira-kira 1.5 kilometer sebelum berhenti di hadapan rumah ahli keluarganya,” katanya di sini hari ini.
Mohamad Noor berkata, bertindak atas maklumat orang awam, pegawai penyiasat trafik dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berjaya menahan suspek.
Katanya, hasil ujian kandungan alkohol suspek yang tidak bekerja ini juga menunjukkan ia melebihi had yang dibenarkan ketika memandu.
“Suspek kini direman sehingga 4 Mac ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih RM100,000.
“Bedah siasat mangsa akan dijalankan selepas keputusan ujian calitan Covid-19 diperoleh,” katanya.