KUALA LUMPUR: Pemilik firma barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan, Samer Halimeh akan memohon pas khas untuk memasuki negara ini bagi memeriksa 11,991 unit barang kemas yang
disita pihak polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn. Bhd. di Pavillion Residences, tiga tahun lalu.
Peguam Datuk David Gurupatham yang mewakili firma itu selaku pihak ketiga memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, permohonan bagi mendapatkan pas khas itu perlu dibuat berikutan anak guamnya kini berada di United Kingdom.
Jelasnya, buat masa ini Kementerian Kesihatan melaksanakan sekatan terhadap negara-negara yang mengalami kes Covid-19 yang tinggi namun pas khas boleh dipohon jika keadaan sesuai.
Sehubungan itu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan 12 hingga 15 Julai atau 2 hingga 6 Ogos ini bagi pemeriksaan barang kemas oleh pihak ketiga. Pengurusan kes pula dijadualkan pada 1 Jun ini.
Turut terlibat dalam pemeriksaan barang berharga itu ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor selaku pihak ketiga yang memohon untuk menuntut aset dan wang yang disita itu.
Muhammad Jamil menetapkan tarikh tersebut pada prosiding pengurusan kes lucut hak itu yang turut dihadiri oleh peguam-peguam Syahirah Hanapiah dan Iskandar Shah Ibrahim mewakili Najib dan isteri.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin mengesahkan penilaian risiko perlu dibuat bagi mana-mana individu untuk memasuki Malaysia dari United Kingdom dan pihaknya akan mengkaji prosedur itu dengan lebih lanjut.
Dalam perkembangan lain, Faten Hadni berkata, pemeriksaan barang kemas tersebut akan mengambil masa empat hingga lima hari bagi 11,991 unit barang kemas yang disimpan dalam lebih 90 buah kotak di dalam bilik kebal di Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurut beliau, perkara itu ditetapkan berdasarkan simulasi yang dilakukan antara pihak pendakwaan, BNM dan pegawai penyiasat kes.
Katanya, pemeriksaan bagi setiap kotak akan mengambil masa kira-kira 15 ke 20 minit, tapi tempoh itu masih bergantung kepada cara pemeriksaan oleh pihak ketiga.
Jelas beliau, pihak pendakwaan menganggarkan lebih kurang empat kotak akan diperiksa dalam tempoh satu jam.
Faten Hadni memberitahu, pihak BNM menasihatkan pihak-pihak yang berkenaan untuk tidak berada di dalam bilik kebal tersebut lebih daripada lima jam berikutan kandungan oksigen yang rendah.
Menurut beliau, berdasarkan kiraan, pemeriksaan barang kemas itu akan mengambil masa empat hingga lima hari dan hanya boleh dibuat pada hari bekerja.
Pada 2019, pihak pendakwaan menfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.
Wang dan barang kemas itu dirampas oleh pihak berkuasa daripada Obyu Holdings pada Mei 2018 kerana didakwa terlibat dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).