Pemilihan parti sebelum PRU-15 solusi selesai kemelut - Utusan Malaysia

Pemilihan parti sebelum PRU-15 solusi selesai kemelut

KHAIRUL SHAHRIL MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemilihan parti UMNO perlu diadakan segera sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai antara solusi untuk merungkai kemelut dalaman parti ketika ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Parit, Khairul Shahril Mohamed berkata, perkara itu antara pertimbangan yang boleh diambil pucuk pimpinan parti walaupun ia bukanlah penyelesaian segala perkara.

Beliau berkata, walaupun tidak seronok didengar dan ‘pahit’ untuk ditelan, ia perlu diberi perhatian dan diperhalusi sebaiknya demi kebaikan parti.

“Mengambil semangat PRU-14 dahulu, mungkin kita terlepas pandang untuk mempertimbangkan beberapa pandangan, dan ia telah memberi kesan tidak baik kepada parti, kita berpandu kepada pepatah pahit itu ubat.

“Kita bersangka baik dengan sahabat-sahabat kita dan kita raikan pandangan semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas gesaan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang mahu pemilihan parti UMNO diadakan segera sebelum PRU-15 bagi menyelesaikan kemelut parti ketika ini.

Khairul Shahril bagaimanapun berkata, sebarang keputusan terserah kepada pucuk pimpinan, namun beliau percaya segala keputusan yang bakal dibuat akan mengambil kira kebaikan parti dan semua ahli akar umbi.

Beliau yang merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO Perak berkata, semua pemegang jawatan UMNO sama ada di peringkat pusat atau bahagian tidak perlu takut dengan bayang-bayang sendiri.

Malah, katanya, masing-masing perlu buat persediaan dan melakukan sesuatu demi parti.

“Mengambil semangat Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, kita serahkan keputusan kepada Majlis Tertinggi, saya sentiasa mendoakan kepimpinan kita buat keputusan terbaik bukan demi kepentingan diri tapi demi kepentingan parti.

“Kepada semua penyokong dan ahli parti, kita haruslah mendokong apa jua keputusan yang diputuskan oleh kepimpinan parti nanti kerana itu adalah antara tanggungjawab utama kita sebagai ahli parti, ” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya