PETALING JAYA: Kerajaan melancarkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion serta suntikan fizikal baharu yang berjumlah RM11 bilion sebagai sebahagian usaha untuk menyokong proses pemulihan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program itu yang mempunyai lima fokus utama akan menumpukan 20 inisiatif strategik bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong peniagaan dan meneruskan bantuan kepada rakyat dan sektor yang terkesan.
“Negara kita sedang berada pada tahap kelima Strategi 6R (Resolve, Resilience, Restart, Recovery, Revitalise dan Reform) Pelan Komprehensif Pemulihan Ekonomi iaitu ‘Revitalise’ atau memperkasa ekonomi.
“Pada tahap ini, strategi pemulihan ekonomi ditumpukan kepada usaha untuk merancak dan melonjakkan semula aktiviti ekonomi,” katanya ketika mengumumkan Pemerkasa hari ini.
Setakat ini, kerajaan telah mengumumkan lima pakej bantuan yang berjumlah RM340 bilion, iaitu PRIHATIN sebanyak RM250 bilion, PRIHATIN PKS RM10 bilion, PENJANA RM35 bilion, Kita PRIHATIN RM10 bilion, PERMAI RM15 bilion dan PEMERKASA RM20 bilion.