PUTRAJAYA: Peruntukan RM376 juta untuk belia melalui Inisiatif Ke-19: Prihatin Belia di bawah agenda Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) akan memberikan manfaat kepada dua juta belia secara keseluruhan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kementerian amat menghargai keprihatinan Perdana Menteri terhadap golongan belia menerusi pelaksanaan inisiatif terbaharu itu.
Katanya, melalui peruntukan tersebut, ia akan menambah baik inisiatif eBelia buat kali kedua kepada RM150 menjadikan keseluruhan peruntukan itu termasuk lanjutan daripada Belanjawan 2021 berjumlah RM300 juta yang akan memanfaatkan dua juta belia.
“Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) juga akan diperluas dan dijangka memberi manfaat kepada 1,800 orang belia dengan peluang latihan keusahawanan dan peralatan yang akan dibekalkan secara percuma bagi mengikuti bidang serta kursus yang disertai.
“Program PEKB akan diperluas dengan tambahan peruntukan sebanyak RM10 juta menjadikan peruntukan keseluruhan tahun 2021 bagi program ini sebanyak RM21 juta,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Reezal Merican berkata, di samping itu, penambahan peruntukan terhadap Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera dijangka dapat melahirkan 250 usahawan belia Bumiputera baharu.
“Selain itu, program New Gen Entrepreneur Online Bootcamp akan diperkenalkan bagi tujuan latihan penyediaan serta bimbingan aan secara dalam talian kepada 2,000 orang usahawan belia” katanya. – UTUSAN ONLINE