Pembangunan adil, sama rata di Sabah - PM - Utusan Malaysia

Pembangunan adil, sama rata di Sabah – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui jurang pembangunan di Sabah masih agak ketinggalan dalam beberapa aspek jika dibandingkan dengan negeri-negeri di Semenanjung.

Justeru, kata Perdana Menteri, kerajaan telah menekankan layanan adil dalam pembentukan dan perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan memperuntukkan sumber kewangan saksama dalam pembangunan negeri ini.

Menurut beliau, selepas setahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjalankan amanah mentadbir negara ini, pelbagai perancangan dan pelaksanaan inisiatif dijalankan bagi memenuhi hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Bagi negeri Sabah, katanya, sudah pasti kerajaan memberikan perhatian terbaik untuk memastikan penyampaian segala bentuk perancangan dapat dilakukan secara optimum bagi manfaat semua lapisan masyarakat.

“Selaras dengan salah satu objektif utama WKB 2030 iaitu pembangunan untuk semua, kerajaan komited untuk memastikan pembangunan yang mampan di setiap negeri termasuklah di negeri Sabah.

“Untuk Rolling Plan Pertama (RP1) 2021 RMK-12, sebanyak 1,039 projek pembangunan dengan peruntukan sebanyak RM5.01 billion telah diluluskan khusus untuk negeri Sabah bagi pelaksanaan projek-projek merentasi pelbagai kementerian dan agensi kerajaan,” katanya ketika berucap dalam Sesi Balai Rakyat Makmur Bersama @Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, hari ini.

Muhyiddin berkata, antara projek pembangunan utama di negeri Sabah yang sedang dilaksanakan ialah projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, projek pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay, projek menaik taraf 50 sekolah daif secara sistem binaan berindustri (IBS) dan projek Jalan Perhubungan Desa Negeri Sabah.

Kesemua projek itu katanya, dijangka dapat memberi manfaat kepada peningkatan aktiviti ekonomi di Sabah.

Pada masa sama, katanya, usaha kerajaan turut tertumpu dalam menangani kemiskinan dan memperkukuh pembangunan inklusif di Sabah, contohnya Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah yang merangkumi tiga kluster, iaitu Native Customary, Mahkamah Adat dan Pembangunan Modal Insan sedang dilaksanakan di bawah RP1 2021.

“Langkah ini dijangka dapat memastikan pembangunan sosioekonomi yang seimbang demi kesejahteraan penduduk di Sabah.

“Dalam RMK-12, satu bab khusus bagi perancangan pembangunan sosioekonomi negeri Sabah dan Sarawak juga akan diperkenalkan. Antara penekanan yang akan diberi termasuklah usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar bagi ketersambungan digital yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Perdana Menteri, dalam usaha menangani jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, kerajaan juga akan terus mengambil pendekatan menyeluruh bagi memastikan kebajikan setiap rakyat terbela.

Katanya, terdapat kira-kira 1.52 juta penduduk di luar bandar Sabah, iaitu 20 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk luar bandar di Malaysia.

Di pihak kerajaan, jelas beliau, pelbagai inisiatif akan terus dijalankan bagi meningkatkan kesalinghubungan antara satu sama lain seperti pembinaan jalan raya sepanjang 700 kilometer di bawah program Jalan Luar Bandar (JALB) dan Jalan Perhubungan Desa (JPD) yang dapat memberi manfaat kepada 232,000 penduduk.

Selain itu, katanya, usaha juga terus digiatkan untuk membina dan membaik pulih rumah di Sabah melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan peruntukan sebanyak RM369.8 juta.

Ini termasuk katanya, sebanyak RM213.6 juta untuk pembinaan 2,700 rumah baharu yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 13,000 ahli isi rumah dan RM156.2 juta untuk membaik pulih 9,200 unit rumah bagi 45,000 isi rumah.

“Selaras dengan konsep prihatin rakyat, tumpuan akan sentiasa diberi kepada golongan rentan seperti kanak-kanak. Sebagai contoh, di Sabah, bagi unjuran 2021-2025, sebanyak RM800 juta diperuntukkan untuk menyediakan Bantuan Makanan Tambahan dan Bantuan Geran Per Kapita untuk kanak-kanak Tabika dan Taska Kemas melibatkan seramai satu juta kanak-kanak bagi unjuran 2021-2025.

“Bantuan ini meliputi makanan berkhasiat, buku, alat tulis dan pakaian sekolah, manakala 1,750 buah Tabika dan Taska Kemas juga akan dibaik pulih dalam tempoh sama,” katanya.

Muhyiddin turut memberitahu, Program Modal Insan bakal dilaksanakan dalam masa terdekat oleh Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) untuk memberi fokus pada kumpulan terkesan dengan pandemik khususnya golongan B40 Sabah dengan menyediakan peluang pekerjaan atau keusahawanan.

Beliau turut berkeyakinan Sabah mempunyai potensi amat besar dalam menarik pelaburan dari dalam dan luar negara memandangkan kedudukan strategik di rantau ini dan kekayaan sumber asli.

Sebagai contoh, katanya, pengembangan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar atau Sapanga Bay Container Port di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia (BIMP-EAGA) berpotensi menarik pelaburan asing bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan taraf sosio-ekonomi Sabah.

“Saya difahamkan jumlah perdagangan di negeri Sabah dalam dan luar negara pada tahun 2020 mencecah sebanyak RM79.5 bilion iaitu nilai eksport sebanyak RM41.4 bilion dan import sebanyak RM38.1 bilion manakala kelulusan pelaburan sektor pengilangan oleh MIDA untuk negeri Sabah pada 2020 ialah sebanyak RM11.95 bilion bagi 15 projek.

“Negeri Sabah turut berpotensi dalam pembangunan industri aeroangkasa selari dengan Malaysia Aerospace Industry Blueprint 2030.

“Sebagai contoh, National Aerospace Industry Coordinating Office (NAICO) telah mencadangkan Kota Kinabalu sebagai kluster aeroangkasa dalam RMKe-12. Pelaburan ini mampu mewujudkan lebih 1,500 peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah selain memberi impak positif terhadap sektor-sektor lain di Sabah susulan peningkatan rantaian pelaburan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN