Pembakaran terbuka punca IPU tidak sihat di Segamat - Utusan Malaysia

Pembakaran terbuka punca IPU tidak sihat di Segamat

H. VIDYANANTHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Aktiviti pembakaran terbuka menyebabkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan di Segamat berada di paras tidak sihat iaitu 153.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R. Vidyananthan berkata, siasatan yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri mendapati aktiviti pembakaran terbuka berlaku berhampiran Stesen Pemantauan IPU Segamat.

Katanya, tujuh stesen pemantauan IPU yang lain mencatatkan status kualiti udara pada tahap
sederhana.

“Pemantauan lanjut akan terus dijalankan oleh JAS cawangan Muar. Penduduk setempat juga telah dinasihatkan untuk tidak menjalankan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuklah terhadap pemilik tanah di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Vidyananthan berkata, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) mengesan terdapat tiga titik panas di negeri ini iaitu satu di Mersing dan dua di Kota Tinggi.

“Titik panas ini dikesan berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada semalam menggunakan imej satelit NOAA.

“JAS ingin mengingatkan kepada semua pemilik tanah untuk memantau tanah masing-masing secara rapi terutama di kawasan mudah dan sering terbakar seperti tanah gambut, kawasan pertanian, tapak pembinaan, tapak pelupusan sampah, hutan, belukar dan kawasan perindustrian.

“Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran kecil serta melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan JAS di talian bebas tol 1800-88-2727,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya