PETALING JAYA: Pemandu treler yang merempuh jejambat perancah besi pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Desa Tun Razak di sini semalam didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Berikutan itu, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan dan akan di reman di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu menyebabkan pemandu van kilang, Muhd. Fairus Mohd. Yusof, 47, mengalami patah tulang bahu sebelah kiri, bengkak pada paru-paru dan berlaku pendarahan dalaman.
Dua lagi penumpang van, Zaitun Zainal, 54, cedera kaki sebelah kiri manakala Zakiyyah Yakop, 51, cedera betis kiri.
Mangsa yang meninggal dunia adalah Nurina Edwin Abdullah dan Norhayati Abdullah masing-masing berusia 42 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pada mulanya, treler yang dipandu lelaki itu telah melanggar kerangka besi di kawasan pembinaan.
Kata beliau, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila treler yang dipandu lelaki terbabit melalui Lebuhraya MRR2 dan apabila sampai di lokasi kejadian bahagian atas trelernya berlanggar kerangka besi pada pembinaan di jejantas pejalan kaki.
“Kejadian itu menyebabkan rusuk keluli bersama dengan perancah besi terjatuh di kedua-dua laluan Lebuhraya MRR2 dan telah menghempap van pekerja kilang yang bergerak dari laluan Ampang menghala ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
“Van pekerja kilang itu terhempap di bawah rusuk keluli yang terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE