ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah menahan seorang pemandu lori selepas didapati membeli sebanyak 318 liter diesel tanpa permit sah di sini hari ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kedah Mohd. Shahran Mohd. Arshad berkata, pemandu lori berusia 30-an itu ditahan ketika
mengisi diesel ke dalam 23 tong di sebuah stesen minyak di Kubang Rotan di sini pada pukul 11 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu lori itu gagal mengemukakan permit khas iaitu surat kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh KPDNHEP,” katanya di sini, hari ini.
Beliau menambah, siasatan lanjut mendapati diesel tersebut dipercayai dibeli untuk kegunaan jentera berat di kawasan projek saliran berdekatan.
“Sebagai makluman, diesel yang sepatutnya digunakan oleh jentera bagi projek ini adalah diesel komersial yang perlu dibeli daripada pemborong yang sah.
“Semasa serbuan, pemandu lori itu membeli diesel sebanyak 318 liter yang bernilai RM684.
Kesemua diesel dan lori tiga tan itu dirampas untuk membantu siasatan yang membabitkan jumlah sitaan bernilai RM16,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah akan melakukan kesalahan dan dibaca bersama di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.
Mohd. Shahran berkata, tindakan turut diambil terhadap stesen minyak terbabit mengikut Peraturan 21 (1) PPKB 1974 kerana melanggar syarat lesen.
Menurutnya, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta untuk individu atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan membabitkan syarikat boleh didenda tidak lebih RM2 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN ONLINE