Peluang anak tempatan dilatih di Jepun - Utusan Malaysia

Peluang anak tempatan dilatih di Jepun

Mohd. Redzuan Md. Yusof
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Anak tempatan yang berpotensi berkemungkinan berpeluang ke Jepun untuk diberi latihan dalam meningkatkan kemahiran dalam bidang tertentu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, kerajaan melalui Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) akan bekerjasama dengan Persatuan Graduan Jepun Malaysia (JAGAM) bagi mengenal pasti murid-murid berkenaan.

Beliau berkata, misi negara melalui usaha sama itu adalah bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi untuk mengisi jawatan atau peluang pekerjaan di sektor tertentu dalam syarikat yang menerima pelaburan dari negara matahari terbit.

“Usaha ini masih di peringkat awal iaitu di peringkat persefahaman di antara kedua-dua pihak dan kalau persetujuan bersama dicapai dalam pelbagai aspek, ia akan direalisasikan.

“Ini kerana terdapat beberapa keperluan atau syarat yang perlu dipenuhi untuk menjayakan usaha ini seperti keperluan memohon permit kerja sebelum mendapat kebenaran bekerja di Jepun dan setakat ini, Malaysia tidak tersenarai antara lapan negara yang mendapat kelonggaran bekerja di Jepun,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan alat persekolahan di Dewan Anggerik Malaysia, Taman Koperasi Naning di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 100 murid dalam Parlimen Alor Gajah menerima sumbangan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sempena program Ceria ke Sekolah.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin.

Mohd. Redzuan menambah, Yayasan Peneraju juga akan memberi kursus jangka pendek bahasa Jepun sebagai persediaan kepada anak tempatan yang terpilih.

Jelasnya, ia selaras dengan agenda nasional untuk memastikan anak tempatan diberi keutamaan mengisi peluang pekerjaan menerusi pelaburan antarabangsa, memandangkan peratusannya agak rendah sekarang.

“Kita sedang membentuk dan menyusun satu struktur berkaitan pengambilan pekerja melibatkan pelabur asing supaya mereka yang telah dilatih atau mempunyai kemahiran khusus dapat diserap ke industri terlibat,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN