MELAKA: Kerajaan hanya menunggu ‘lampu hijau’ negara-negara luar untuk menerima kemasukan pelancong dari Malaysia selepas garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) gelembung perjalanan telah pun siap sepenuhnya dirangka.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, setakat ini kerajaan sedang mendapatkan respons daripada enam negara terlibat iaitu Singapura, Jepun, Vietnam, Brunei, China dan Korea Selatan.
“Selepas diarahkan kerajaan pada tahun lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kini telah bersedia dengan garis panduan dan SOP bagi gelembung perjalanan ke negara luar.
“Bagaimanapun, kita masih perlu menunggu jawapan atau kebenaran daripada negara luar yang terlibat untuk kemasukan pelancong dari negara ini ke sana,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 di Ayer Keroh di sini, hari ini.
Tambahnya, garis panduan dan SOP itu telah disiapkan menerusi perbincangan dengan kementerian lain termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar.
“Gelembung perjalanan itu bagaimanapun tertakluk kepada keadaan semasa pandemik dan perbincangan bersama pelbagai kementerian lain serta penilaian oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sama ada ia boleh diteruskan atau tidak.
“Antara SOP yang ditetapkan adalah perjalanan secara kumpulan kecil, hanya melibatkan agensi pelancongan yang telah berdaftar dan individu perlu membuat ujian calitan Covid-19,” jelasnya.
Dalam pada itu, bercakap mengenai gelembung perjalanan domestik, Nancy memberitahu, pihaknya sedang mengenal pasti destinasi eko-pelancongan yang boleh diketengahkan untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.
“Pada waktu pandemik ini, kita melihat eko-pelancongan menjadi satu teras penting dan kita sedang mengenal pasti destinasi-destinasi yang masih belum diterokai sepenuhnya oleh orang ramai.
“Kita rasakan ini adalah peluang yang baik untuk memperbaiki infrastruktur supaya orang ramai dapat sampai ke lokasi eko-pelancongan ini dengan mudah, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong luar,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE