Pelan Strategik Pendigitalan sedia khidmat lebih fokus pelanggan - Utusan Malaysia

Pelan Strategik Pendigitalan sedia khidmat lebih fokus pelanggan

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sedang merangka Pelan Strategik Pendigitalan yang akan menggariskan hala tuju baharu dalam usaha penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Adham Baba berkata, rancangan itu bakal mengambil kira norma baharu termasuk membangunkan perkhidmatan dalam talian menerusi aplikasi yang tertentu.

“Antaranya seperti aplikasi mudah alih, kecerdasan buatan dan sistem rekod perubatan secara elektronik yang berupaya dalam menyediakan data para pesakit seumur hidup,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Maya Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Seksyen Pegawai Dalam Perkhidmatan Perubatan (Schomos) hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha juga akan dibuat bagi menawarkan perkhidmatan lebih dinamik, pantas dan berfokus pelanggan melalui jalinan kolaborasi strategik awam-swasta.

Ini ujarnya, termasuk memanfaatkan penyumberluaran dan penggunaan teknologi perubatan terkini yang dimiliki oleh fasiliti kesihatan swasta dalam perawatan pesakit di seluruh negara.

“Anjakan ini selaras hasrat Perdana Menteri ingin lihat transformasi sistem kesihatan sebagai satu tawaran baharu kepada rakyat sejajar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Kejayaan pelaksanaan program di kementerian itu jelas Adham, bukan lagi semata-mata cuma bergantung kepada pertambahan sumber manusia dan peruntukan tinggi kewangan tahunan.

Malah katanya, kesediaan semua pihak dalam kementerian tersebut untuk berkongsi sumber yang terhad, merekayasa prosedur dan amalan inovasi merupakan langkah kepada kejayaan.

Apatah lagi jelasnya, kementerian itu ‘belanja’ lebih RM17 bilion atau 63 peratus daripada bajet pengurusan bagi urusan gaji melibatkan 252,911 staf tetap dan 40,000 petugas kontrak.

“Ini belum termasuk bayaran kerja lebih masa dan pelbagai tuntutan elaun yang secara perbandingan lebih tinggi daripada tanggungan gaji purata 64 negara lain seluruh dunia,” katanya.

Justeru, beliau memohon kefahaman semua kakitangan mengenai kekangan yang dialami terutama isu perjawatan tambahan dan kos penambahbaikan fasiliti kementerian tersebut.

Kerajaan ujarnya, perlu menimbang semua permohonan daripada pelbagai kementerian lain dan akhirnya, kelulusan dibuat berdasarkan kepada keupayaan kewangan semasa negara.

Sehubungan itu, Adham menggesa mereka memastikan sumber terhad dalam organisasi dapat dioptimum dengan langkah penjimatan dan kerjasama fokus program secara inklusif.

“Kementerian akan beri tumpuan keutamaan penting dan strategik melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat melalui aktiviti promosi dan modul pendidikan literasi kesihatan,” kata beliau.

Beliau turut berjanji membawa segala cadangan dan isu berbangkit dalam forum tersebut untuk pertimbangan pihak atasan terutama masalah pelantikan staf berstatus sementara.

Pada masa yang sama, beliau menyeru petugas supaya lebih fokus sentiasa memberikan perkhidmatan tanpa mengira faktor kaum, geografi, agama dan fahaman dalam masyarakat.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya