Pelan Pengimarahan Masjid bakal dilancar - Utusan Malaysia

Pelan Pengimarahan Masjid bakal dilancar

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri melancarkan Kit Ramah Rakan Masjid Hospital pada Majlis Pelancaran Kit Ramah dan Penyampaian Kerusi Roda kepada Pesakit Hospital di Kompleks Islam Putrajaya di sini, hari ini. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bakal melancarkan Pelan Pengimarahan Masjid di seluruh negara dalam masa terdekat bagi menghidupkan premis tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, draf inisiatif itu sedang giat disiapkan agensi berkenaan sebelum dimuktamadkan.

“Insya-Allah, mungkin sehari, dua hari lagi, pelan ini akan dilengkapkan sebelum dilancarkan secara rasmi untuk dapat dimanfaatkan oleh seluruh umat Islam di negara ini kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kit Rakan Masjid Hospital (Ramah) dan Penyampaian Kerusi Roda Pesakit Hospital di Kompleks Islam, di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary; Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Dr. Nordin Ahmad.

Pelan Pengimarahan Masjid merupakan hasil ilham oleh Zulkifli sendiri dengan mula dilaksanakan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan dan melibatkan tempoh fasa 2020 hingga 2024.

Strategi pelan membabitkan 85 buah masjid di tiga wilayah itu meliputi lima teras utama iaitu dakwah, ibadah, ekonomi, pendidikan dan keilmuan serta sosial, komuniti dan alam sekitar.

Ketika ini, statistik terbaharu Jakim menunjukkan terdapat sejumlah 6,465 buah masjid di seluruh Malaysia dengan Sabah yang paling banyak iaitu 1,072 buah diikuti Johor pula 822 buah.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, apabila diperluas ke seluruh negara kelak, masjid bukan lagi sekadar rumah ibadah umat Islam, bahkan aktiviti dianjurkan terbuka kepada masyarakat.

“Draf pelan ini sedang dipinda teliti dengan lebih menyeluruh agar liputan inisiatif membolehkan orang ramai mendekati masjid dan bukan setakat hadir untuk solat berjemaah,” tegasnya.

Menyentuh Ramah diwujudkan sejak 2019 membabitkan Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, beliau meminta Jakim memperluaskan kepada jemaah haji pula.

Setakat ini, Jakim menyediakan kit Ramah hanya untuk menyantuni pesakit di hospital mudah beribadah menerusi kaedah debu tayammum dan botol penyembur air bagi urusan wuduk.

“Program Ramah dilaksanakan bukan cuma fokus kepada amalan ritual semata-mata, malah memperkasakan pelbagai peranan masjid dalam komuniti dan menyebarkan dakwah,” katanya.

Bekalan kit Ramah dan kerusi roda sumbangan Jakim itu ujarnya, melalui dua fasa melibatkan kos sebanyak RM46,100 dengan fasa pertama yang berjumlah 600 unit kit dan 15 kerusi roda.

Bagaimanapun kata Zulkifli, jika jumlah itu masih tidak cukup, Jakim sedia menambah mengikut keperluan sesebuah hospital terutama bagi meringankan beban ditanggung oleh pesakit miskin.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Garis Panduan Tatacara Pengurusan Jenazah Orang Islam Covid-19 juga telah pun berjaya disediakan Jakim dengan kerjasama pelbagai agensi lain.

“Ia sebagai panduan bagi kita mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan kerajaan dan saya berharap semoga kita akan dapat bendung penularan wabak ini dengan segera,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN