Pelaksanaan Prospek diperluas ke Sarawak - Utusan Malaysia

Pelaksanaan Prospek diperluas ke Sarawak

HENRY SUM AGONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan meluaskan pelaksanaan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) ke Sarawak bermula pada Mei depan.

 Timbalan Menterinya, Datuk Henry Sum Agong berkata, projek tersebut yang diperkenalkan untuk mengurangkan kadar kemiskinan di luar bandar telah dilaksanakan di Kedah dan Terengganu sejak 2018 lalu.

Menurutnya, kementerian itu akan menjadikan program peningkatan pendapatan, meningkatkan kualiti hidup dan menaik taraf kemudahan prasarana di negeri ini sebagai model pelaksanaan projek tersebut di Sarawak nanti.

“Pembangunan Prospek yang melibatkan tiga komponen utama iaitu ekonomi, perumahan dan prasarana asas akan diperluaskan ke Sarawak selepas ini.

“Bagaimanapun, kita masih belum menentukan lokasi di Sarawak yang terlibat dengan projek berkenaan kerana masih dalam perbincangan di peringkat kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) di Sidam Kanan, Padang Serai di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Keda, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian menerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) telah membelanjakan sebanyak RM3.06 juta untuk tiga komponen Prospek iaitu ekonomi, perumahan dan prasarana asas di kawasan Sidam Kanan.

“Seramai 200 peserta terlibat dalam Prospek di  Sidam Kanan ini yang mana penglibatan ini memberi limpahan ekonomi kepada kira-kira 10,000 penduduk di kawasan tersebut,” katanya.

Tambahnya, hasil analisa kajian dan impak oleh Keda mendapati projek berkenaan telah memberi manfaat kepada peningkatan pendapatan hampir 30 peratus dalam tempoh setahun selepas menerima bantuan tersebut.

“Ia bertepatan dengan tujuan Prospek iaitu mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar melalui program peningkatan pendapatan, meningkatkan kualiti hidup serta menaik taraf kemudahan prasarana di kampung-kampung sedia ada,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN