KUALA LUMPUR: Seorang peguam menyifatkan pelaksanaan kompaun RM10,000 terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) menimbulkan kekeliruan kerana jenis kesalahan yang dilakukan tidak diperincikan secara jelas kepada orang awam.
Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Seksyen 9 Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 terlalu luas manakala jenis kesalahan yang membolehkan individu dikompaun tidak dinyatakan dengan lebih jelas dan mendalam.
Ujarnya, kompaun maksimum di bawah ordinan berkenaan menekan rakyat kerana pelaksanaannya tidak mempunyai semak dan imbang sama ada oleh Parlimen ataupun mahkamah.
“Pelaksanaan kompaun RM10,000 perlu digantung sementara sehingga ia dibawa ke persidangan Dewan Rakyat untuk dibahaskan bagi menjelaskan segala kekeliruan,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau mengulas pindaan terhadap Seksyen 25 (a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang mana jumlah kompaun dinaikkan kepada nilai maksima RM10,000 bagi kesalahan perlanggaran SOP yang dilakukan oleh seseorang individu.
Muhammad Rafique turut mempersoalkan mengapa Kerajaan tidak memperincikan terlebih dahulu apakah kesalahan yang boleh dikompuan sebelum ianya dikuatkuasa sehingga mengelirukan orang awam, polis dan pihak yang diberi kuasa melaksanakannya.
Menurut beliau, pada 27 Februari lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata bahawa kompaun berjumlah RM10,000 hanya untuk kesalahan berulang.
Ujarnya, pada 14 Mac lalu, seorang lelaki di Bagan Serai, Perak dilaporkan telah dikompaun maksimum kerana memakai pelitup muka dengan tidak sempurna iaitu dengan hanya meletakkannya di dagu ketika
masuk dan keluar dari sebuah premis.
“Kes berkenaan telah mendapat kritikan awam secara meluas yang mana rata-rata menyifatkan tindakan polis itu sesuatu yang zalim,” kata peguam
tersebut.
Ujar Muhammad Rafique lagi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu sidang media pada 12 Mac lalu berkata, jumlah kompaun yang ditulis atas notis saman bukan muktamad kerana individu terbabit boleh membuat
rayuan berdasarkan budi bicara pegawai yang diberi kuasa.
Katanya, dua hari lalu menteri yang sama berkata, kerajaan akan memperincikan kesalahan yang boleh dikenakan kompaun RM10,000 mengikut ordinan berkenaan bagi menangani kekeliruan dalam kalangan
masyarakat.
“Persoalannya mengapa ia dikuatkuasa sebelum perincian dibuat?,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE