PORT DICKSON: Bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19, Politeknik Port Dickson mengambil inisiatif mengenakan langkah tambahan kepada semua pelajarnya iaitu dengan menjalani pengasingan selama 10 hari di asrama atau di rumah sebelum mereka kembali ke kampus hari ini.
Langkah tambahan tersebut menggunakan aplikasi Sistem Deklarasi Kesihatan dan Penilaian Risiko Covid-19 (PolyCcDec) yang bertujuan memantau tahap kesihatan pelajar berkuat kuasa 1 Mac lalu.
Aplikasi berkenaan merupakan satu mekanisme baharu yang dibangunkan bagi memantau tahap kesihatan pelajar dan tahap risiko penularan wabak Covid-19 di kawasan kediaman pelajar.
Pengarah Politeknik Port Dickson, Mohamad Isa Azhari berkata, pengasingan tersebut merupakan satu usaha untuk membantu kerajaan menguat kuasakan prosedur operasi standard (SOP) semasa pelajar berada di kampus.
“Sebagai usaha untuk membantu kerajaan, Politeknik Port Dickson akan memastikan pelajar yang akan melapor diri perlu melakukan pengasingan kendiri sebelum pulang ke kampus selama 10 hari sebelum tarikh lapor diri pada hari ini.
“Pemantauan kendiri menggunakan aplikasi semasa proses ini merupakan langkah tambahan projek rintis tiga politeknik iaitu Politeknik Port Dickson, Politeknik Melaka dan Politeknik Merlimau bagi membolehkan pihak politeknik memantau dan melakukan pemerhatian terhadap tahap kesihatan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar Pelaksanaan Program Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) secara hibrid di Politeknik Port Dickson hari ini.
Seramai 3,578 pelajar Politeknik Port Dickson menggunakan sistem PolyCcDec secara berperingkat.
Sementara itu, Mohamad Isa menjelaskan, seramai 800 pelajar senior yang melapor diri pada hari ini di Politeknik Port Dickson diwajibkan menggunakan aplikasi tersebut bagi peringkat pertama ini.
“Berdasarkan rekod, seramai 15 orang pelajar Politeknik Port Dickson telah dikesan oleh sistem berkenaan kerana mempunyai risiko tinggi sepanjang SOP yang dikuatkuasakan.
Pelajar berkenaan telah diminta menguruskan kesihatan masing-masing terlebih dahulu sebelum dibenarkan hadir ke kampus,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihak Politeknik Port Dickson juga mengurangkan separuh pelajar di dalam setiap kelas bagi membendung penularan wabak Covid-19 di dalam kampus. – UTUSAN ONLINE