Pekerja seludup durian untuk majikan di Indonesia - Utusan Malaysia

Pekerja seludup durian untuk majikan di Indonesia

ANTARA durian jenis Musang King yang dirampas MAQIS Selangor di KLIA, Sepang, Selangor Selasa lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Cubaan lelaki warga tempatan membawa keluar durian jenis Musang King ke Indonesia untuk majikannya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) gagal apabila berjaya dikesan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor, kelmarin.

Pemeriksaan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) itu berjaya merampas empat kotak barangan mengandungi 16 biji  durian Musang King seberat 56 kilogram bernilai RM6,000.

 Pemangku Pengarah MAQIS Selangor, Zamri Hashim berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan rutin pada pukul 12.30 tengahari dan memeriksa lelaki berusia lingkungan 30-an yang bekerja sebagai pembantu operasi bagasi sebuah syarikat penerbangan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati buah durian tersebut dipercayai untuk dihantar kepada majikannya di Indonesia yang merupakan pengarah syarikat penerbangan tersebut.

“Siasatan mendapati lelaki terbabit cuba menyeludup durian Musang King ini kerana atas permintaan majikannya.

“Lelaki terbabit telah bekerja dengan syarikat penerbangan ini sejak tiga tahun lalu. Kesemua buah durian tersebut dirampas kerana gagal mengemukakan permit eksport dan sijil fitosanitasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zamri berkata, perbuatan mengeksport tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah atau mikroorganisma tanpa permit adalah salah mengikut Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

 “Kita sentiasa tegas dalam menjalankan aktiviti penguatkuasaan di semua pintu masuk seluruh Malaysia. 

“Langkah ini bagi menjamin keselamatan pertanian dan makanan negara selain bertujuan untuk memastikan makanan yang keluar  mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan,” ujarnya. -UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya