ALOR SETAR: Pekerja kedai makan ditangkap khalwat selepas didapati tinggal bersama kekasihnya yang berusia 17 tahun di sebuah rumah sewa di Jalan Datuk Kumbar di sini hari ini.
Lelaki berusia 21 tahun dan kekasihnya itu ditahan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) kira-kira pukul 12.30 tengah hari selepas menerima aduan orang awam.
Pasangan terbabit dipercayai telah tinggal bersama sejak dua bulan lalu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JHEAIK, Sheikh Radzi Abdul Muttalib berkata, pemeriksaan ke atas rumah tersebut mendapati pasangan itu berpakaian lengkap dan berdua-duaan di dalam rumah berkenaan.
“Lelaki yang berasal dari Ayer Hitam dekat sini bekerja di sebuah kedai makan dan dia memberi alasan tinggal di rumah itu kerana dekat dengan tempat kerja,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, siasatan juga mendapati remaja perempuan berkenaan masih bersekolah dan tinggal bersendirian di rumah sewa milik keluarganya.
“Mereka gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai hubungan mahram atau suami isteri,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat yang memperuntukkan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.-UTUSAN ONLINE