Pekerja asing tidak layak mohon taraf penduduk tetap - Utusan Malaysia

Pekerja asing tidak layak mohon taraf penduduk tetap

KHAIRUL DZAIMEE DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dasar dan prosedur pengambilan pekerja asing di negara ini adalah jelas dengan menetapkan 15 negara sumber bagi pekerja asing dibenarkan bekerja di negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pekerja asing tidak mahir dari negara-negara sumber itu hanya dibenarkan bekerja dalam sektor yang dikategorikan sebagai sektor 3D (dangerous, dirty dan difficult) seperti di tapak projek pembinaan, ladang-ladang kelapa sawit, pencuci bangunan atau sebagai buruh di gudang dan pasar raya besar.

Ini kerana katanya, majikan-majikan menghadapi kesukaran mendapatkan pekerja tempatan untuk bekerja dalam sektor-sektor tersebut.

Ujar beliau, 15 negara sumber bagi pekerja asing itu ialah Thailand, Filipina, Kemboja, Myanmar, Laos, Vietnam, Kazakhstan, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, Turkmenistan, Uzbekistan, Bangladesh, Indonesia, dan India.

“Dasar kerajaan juga menetapkan bahawa pekerja asing tidak layak memohon taraf penduduk tetap. Setiap pekerja asing yang telah tamat tempoh pas yang sah perlu pulang ke negara asal.

“Majikan-majikan yang tidak mematuhi dasar ditetapkan akan diambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta dan Peraturan-peraturan Imigresen. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda dan dipenjarakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, sehingga 31 Disember tahun lalu, terdapat seramai 1.4 juta pekerja asing di negara ini yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) aktif.

Katanya, setiap majikan perlu memperbaharui PLKS pekerja asing mereka setiap tahun dan membayar Levi mengikut sektor pekerjaan.

Beliau menjelaskan, tempoh PLKS ditetapkan selama 10 tahun dan majikan diberi pilihan untuk menyambung selama tiga tahun lagi dengan kadar levi yang lebih tinggi.

“Jabatan Imigresen sentiasa melaksanakan operasi penguatkuasaan dan pemeriksaan dokumen secara konsisten di seluruh negara.

“Sepanjang tahun ini sejak 1 Januari sehingga semalam, Jabatan Imigresen menjalankan sebanyak 1,197 operasi penguatkuasaan dan seramai 26,008 orang diperiksa,” katanya.

Mengulas lanjut, daripada operasi penguatkuasaan itu seramai 4,745 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 56 majikan ditahan dan didakwa.

Beliau memberitahu, seramai 5,417 PATI pula telah diusir ke negara asal mereka sepanjang tempoh ini.

Sepanjang tempoh tahun lalu sahaja, kata beliau, sebanyak 6,877 operasi penguatkuasaan dilaksanakan dengan memeriksa seramai 100,847 orang dan berjaya menahan seramai 27,671 PATI serta 386 majikan manakala 37,038 PATI diusir ke negara asal.

“Sebagai langkah untuk mengetatkan kawalan perairan negara, kerajaan mulai Mei tahun lalu melaksanakan Operasi Benteng yang menggabungkan kekuatan pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan lain.

“Op Benteng dilaksanakan dibawah National Task Force (NTF) bertanggungjawab menjalankan operasi mengawal sempadan perairan negara dari dibolosi oleh warga asing yang cuba memasuki negara ini secara haram,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa Jabatan Imigresen memandang serius mana-mana laporan yang diterbitkan berdasarkan kepada pendapat yang tidak sahih dan tidak berlandaskan kepada fakta sebenar.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose menyifatkan dasar kerajaan yang tidak jelas dan diburukkan lagi dengan kedudukan geografinya yang mudah dibolosi, menjadikan Malaysia tarikan buat warga asing sama ada memasuki secara `haram’ atau sah.

Kebanjiran migran dari pelbagai benua itu secara tidak langsung menjadikan negara ini ibarat `pusat himpunan’ pelbagai kerakyatan.

Situasi tersebut tidak `bagus’ dan tidak `selamat’ buat Malaysia kerana ia mengundang pelbagai masalah seperti jenayah dan sosial. -UTUSAN ONLINE

habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN