Pekerja asing disaring positif naik lagi kepada 36 orang - Utusan Malaysia

Pekerja asing disaring positif naik lagi kepada 36 orang

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Angka pekerja warga asing disahkan positif setelah menjalani saringan wajib Covid-19 seluruh negara semalam terus bertambah lagi untuk hari yang ketiga berturut-turut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia mendapati 36 orang disahkan positif berbanding 31 orang kelmarin dan 20 orang pada Ahad lalu.

“Pihak kementerian itu memaklumkan sejumlah 8,824 pekerja warga asing sudah menjalani saringan wajib tersebut di seluruh negara semalam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Secara kumulatif, ujarnya, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 559,619 individu telah pun selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 29,262 majikan.

Daripada jumlah tersebut ujarnya, hanya 8,842 pekerja warga asing yang disahkan positif wabak maut berkenaan, manakala selebihnya iaitu seramai 550,777 orang lagi adalah negatif.

Sebanyak 1,503 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.

Mulai 1 Februari lepas, saringan dibuat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu meliputi seluruh negara berbanding empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sejak 1 Disember lalu.

Keperluan ujian ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.

Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.

Proses saringan tersebut hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai sepenuhnya pihak Perkeso.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut membuat pemeriksaan 42 tapak binaan yang beroperasi di seluruh negara semalam.

“Kesemuanya mematuhi peraturan dan sejak 20 April lalu, sejumlah 8,996 tapak binaan di negara ini diperiksa bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN