PUTRAJAYA: Angka pekerja warga asing disahkan positif setelah menjalani saringan wajib Covid-19 seluruh negara terus bertambah semalam untuk hari kedua berturut-turut.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia mendapati 31 orang positif Covid-19 berbanding 20 orang (kelmarin) dan 19 orang pada Jumaat lalu.
“Pihak kementerian memaklumkan sejumlah 10,963 pekerja asing sudah menjalani saringan wajib tersebut di seluruh negara semalam,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, secara kumulatif sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 540,473 individu selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 28,194 majikan.
Daripada jumlah tersebut jelasnya, hanya 8,710 pekerja asing disahkan positif manakala selebihnya iaitu seramai 531,763 orang lagi negatif.
Sebanyak 1,497 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.
Mulai 1 Februari lepas, saringan dibuat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meliputi seluruh negara berbanding empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sejak 1 Disember lalu.
Keperluan ujian ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau Kementerian Sumber Manusia.
Ia menyasarkan lebih 500,000 pekerja asing akan disaring Perkeso menjelang tempoh akhir yang ditetapkan kerajaan kepada semua majikan berdaftar di seluruh negara.
Majikan turut diberi amaran kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.
Proses saringan tersebut hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai sepenuh Perkeso.
Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut membuat pemeriksaan 10 tapak binaan yang beroperasi di seluruh negara semalam.
“Kesemuanya mematuhi peraturan dan sejak 20 April lalu, sejumlah 8,945 tapak binaan di negara ini diperiksa bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja,” katanya.