BALING: Pekebun-pekebun kecil getah di seluruh negara disaran menubuhkan koperasi pekebun kecil getah di kawasan masing-masing sebagai persediaan awal menjelang pelancaran Projek Transformasi Perusahaan Industri Getah (Target) dalam masa terdekat ini.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, penubuhan koperasi itu bagi membantu pekebun kecil getah memperkasakan pendapatan mereka.
“Projek terkini ialah projek transformasi getah yang boleh memberikan pendapatan lebih kepada pekebun-pekebun kecil getah melalui koperasi.
“Kita menyarankan pekebun-pekebun kecil getah segera menubuhkan koperasi bagi menghimpun dan menggabungkan pekebun kecil getah memperkasakan mereka dari sudut pendapatan agar menjadi lebih baik,” katanya.
Mohd. Khairuddin berkata demikian ketika berucap pada majlis lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada pekebun kecil Baling di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, beliau menyampaikan sumbangan kepada 200 pekebun kecil dari daerah Baling dan Padang Terap.
Mohd. Khairuddin memberitahu, dana sebanyak RM6 juta dalam bentuk geran mesin bernilai RM300,000 sebagai projek utama akan diagihkan kepada pekebun-pekebun kecil ini melalui koperasi.
Tambahnya, koperasi yang sedia ada perlu bertindak segera untuk memperkasakan koperasi masing-masing bagi mendapatkan bantuan geran tersebut.
“Sasaran sebanyak 20 koperasi baharu akan ditubuhkan kerana ia akan lebih bertanggungjawab kepada ekonomi berbanding persatuan yang lebih bersifat kebajikan sahaja.
“Projek Target adalah perancangan kerajaan untuk memajukan dan menambah baik pendapatan pekebun kecil getah dan merupakan projek pembangunan Pusat Penprosesan Getah Krip Berkelompok yang akan diperkenalkan di peringkat industri huluan getah,” ujarnya
Katanya lagi, projek ini secara keseluruhannya dirancang bagi menjayakan transformasi pekebun kecil dengan merealisasikan rantaian nilai bersepadu bekalan getah berskala komersial dengan pendekatan berkelompok.
“Ia juga akan menjadi perkongsian keuntungan bersama kepada pekebun kecil getah, koperasi dan usahawan,” katanya.
Selain meningkatkan kualiti getah yang dihasilkan, projek ini akan dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan seterusnya menjamin bekalan getah berkualiti kepada industri pembuatan produk getah negara.