Pegawai Imigresen terima suapan, dihukum penjara 10 hari, denda RM10,000 - Utusan Malaysia

Pegawai Imigresen terima suapan, dihukum penjara 10 hari, denda RM10,000

MOHAMAD Jeffry Mohd. Zin (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM3,950 bagi melepaskan warga asing negara China daripada sebarang tindakan, dua tahun lalu.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pegawai Imigresen dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima suapan RM3,950 bagi melepaskan warga asing negara China daripada sebarang tindakan, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Jeffry Mohd. Zin, 32, yang merupakan Pegawai Imigresen Gred KP19 membuat pengakuan atas pertuduhan pilihan itu selepas ia dibacakan di hadapan Hakim, Madihah Hairullah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas di Bahagian Kawalan Imigresen, Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) didakwa menerima wang suapan berjumlah RM3,950 daripada orang tengah yang mengurus kemasukan warga asing dari China.

Wang tunai itu didakwa dimasukkan menggunakan mesin deposit tunai ke dalam akaun pihak ketiga bagi melepaskan warganegara China daripada sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan itu dilakukan di CIMB Islamic Bank Bhd. cawangan Taman Semarak di Nilai, Negeri Sembilan pada 3 Januari 2019.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (2) akta sama.

Mahkamah kemudian menetapkan Mohamad Jefry dijatuhi hukuman penjara 10 hari bermula hari ini dan denda RM10,000, jika tertuduh gagal membayar denda tertuduh dikenakan penjara 12 bulan.

Terdahulu, dalam prosiding berkenaan, tertuduh memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman yang paling minimum memandangkan dia mempunyai isteri, anak berusia tujuh tahun dan anak bongsu yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut membenarkan permohonan SPRM untuk melucut hak pelbagai aset berjumlah RM449,658 termasuk wang tunai, dua buah kereta dan dua buah motosikal.

Dua buah kereta yang dilucut hak tersebut ialah Volkswagen dan BMW.

Difahamkan, Mohamad Jeffry yang ditugaskan memeriksa penumpang melalui kaunter Imigresen KLIA2 telah menerima wang tunai RM250 hingga RM600 bagi setiap warga asing yang dilepaskan.

Sejak bertugas sebagai Pegawai Imigresen di Bahagian Kawalan Imigresen Balai Pelepasan KLIA 2 sejak 2016 hingga November 2020, tertuduh telah melepaskan seramai 500 warga asing dari China. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN