Pecah rekod cuma 6 ditahan ingkar SOP semalam - Utusan Malaysia

Pecah rekod cuma 6 ditahan ingkar SOP semalam

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam pecah rekod paling sedikit dalam sejarah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cuma enam individu ditahan semalam berbanding 52 individu kelmarin dan 58 individu dicekup pada Rabu lalu.

“Kesemua mereka dikompaun dengan kesalahan paling tinggi pula ialah tidak memakai pelitup muka iaitu sebanyak empat kes,” kata beliau lagi melalui kenyataan akhbar hari ini.

Baki dua individu lagi yang dikenakan kompaun semalam ujarnya, ialah pesalah yang premis mereka dikesan gagal dalam menyediakan peralatan bagi merekod butiran diri pelanggan.

Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 67,207 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,598 pasukan di seluruh negara.

Ismail Sabri menambah, seramai 15,454 anggota itu memantau sebanyak 6,028 restoran, 4,711 pasar raya, 4,285 penjaja, 3,068 bank, 2,459 kilang selain 947 buah pejabat kerajaan.

Turut dipantau ialah sejumlah 18,399 tempat riadah, 253 rumah ibadah selain 3,913 terminal pengangkutan darat, 1,889 terminal pengangkutan air dan 974 terminal pengangkutan udara.

Seramai 49 pendatang asing tanpa izin ditahan di seluruh negara semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan negara dan membendung kes Covid-19.

“Sebuah kenderaan darat dirampas selain 128 bot atau kapal yang dicurigai telah dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan,” tegas Ismail Sabri.

Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 262 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 51 dilaksanakan polis. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN