Pecah cermin kenderaan gara-gara selisih faham - Utusan Malaysia

Pecah cermin kenderaan gara-gara selisih faham

TANGKAP layar video yang dirakam ketika seorang lelaki yang menunggang motosikal memecahkan cermin hadapan sebuah kereta dipandu seorang wanita di Pekan Parit Jawa, Muar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Penunggang motosikal ditahan polis selepas disyaki bertindak agresif sehingga memecahkan cermin hadapan sebuah kereta dengan menggunakan topi keledar di Pekan Parit Jawa, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, kejadian itu berlaku berhampiran sebuah persimpangan lampu isyarat di pekan tersebut, kira-kira pukul 3.20 petang.

Beliau berkata, insiden dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara lelaki berusia 25 tahun itu dengan pemandu wanita berumur 26 tahun.

“Punca kejadian dipercayai berkaitan cara pemanduan kenderaan masing-masing yang menyebabkan suspek didakwa bertindak agresif dengan memecahkan cermin hadapan kereta wanita itu.

“Suspek juga didakwa memecahkan cermin sisi di bahagian pemandu dan merosakkan bonet hadapan kereta mangsa dengan menggunakan topi keledarnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Zaharudin berkata, suspek yang ditahan kemudian dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini kerana dipercayai mengalami masalah mental dan masih menerima rawatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, satu video berdurasi 1 minit 38 saat tular dalam media sosial yang menunjukkan seorang lelaki berang sehingga memecahkan cermin dan merosakkan kereta dipandu seorang wanita.

Sementara itu, Zaharudin berkata, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenang memuat naik gambar, video dan kenyataan dalam laman sosial sehingga tular yang boleh menimbulkan salah faham serta kegusaran masyarakat. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya