PDRM perlu 15,000 perjawatan tangani sindiket dadah - Utusan Malaysia

PDRM perlu 15,000 perjawatan tangani sindiket dadah

ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta kerajaan untuk membuat penambahan perjawatan untuk diserapkan di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, setakat ini, pihaknya memerlukan kira-kira 15,000 perjawatan bagi mengekang sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang boleh mengancam negara.

“Kita tahu, mungkin jumlah ini agak besar, tetapi, untuk permulaan, sebanyak 2,500 untuk segera diturunkan kepada pasukan-pasukan di bawah JSJN.

“Perjawatan ini telah dibincangkan antara PDRM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Saya berjanji sebarang perjawatan tidak akan disia-siakan.

“Kita bukan hendak tunjuk gah anggota ramai, tetapi tidak bekerja,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, bagi tempoh Januari hingga Februari, pihaknya telah menahan seramai 19,352 individu atas pelbagai kesalahan dadah.

Menurutnya, JSJN telah merampas sebanyak lebih 70 kilogram pelbagai dadah dan 9,752.46 liter cecair dadah.

“Keseluruhan dadah yang dirampas adalah bernilai RM245.22 juta dan tindakan diambil dibawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucutanhak Harta) 1988.

“Kita juga telah menyita aset sebanyak RM38.16 juta dan sehingga kini sebanyak 56 sindiket berjaya ditumpaskan dengan seramai 217 orang yang terlibat diberkas JSJN di seluruh negara,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN