SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap siaga berhubung ancaman Korea Utara yang mengatakan negara ‘akan menerima akibat’ kerana mengekstradisi seorang rakyat mereka ke Amerika Syarikat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sentiasa berjaga-jaga daripada semua aspek terutama melibatkan keselamatan.
“Kalau orang tengah marah, memang akan cakap seperti itu yang akan keluar. Tetapi, kita akan mengambil tindakan sekiranya berada di sini, namun, mereka hendak pergi, biarlah pergi.
“Kita terima macam-macam ugutan, tetapi, PDRM sentiasa berjaga-jaga daripada aspek keselamatan. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan sejarah menyatakan demikian.
“Untuk mengenakan seseorang dengan cara tidak baik, akan menggunakan macam-macam cara, tetapi, kita bersiap sedia dengan apa jua kemungkinan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Semalam, Konsulat Kedutaan Korea Utara, Kim Yu Song memberi peringatan keras terhadap Malaysia berhubung tindakan kerajaan dalam isu melibatkan rakyat warganegara republik itu.
Dalam kenyataannya kepada media sebelum keluar meninggalkan kedutaan semalam, Yu Song berkata, Malaysia akan menerima akibat daripada tindakan yang dilakukan.
Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, kesemua pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara yang diarahkan meninggalkan negara berjalan dengan lancar dan selamat.
“Itu adalah keputusan Korea Utara dan memang termaktub sekiranya terputus hubungan diplomatik, semua kakitangan mesti keluar dari negara. Ini bukan kehendak kita,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE