PBAPP jalankan misi muhibbah di Kedah - Utusan Malaysia

PBAPP jalankan misi muhibbah di Kedah

REJIMEN Pakar Air RAJD Skuadron Pulau Pinang dan anggota PBAPP menjalankan misi muhibbah bagi membantu rakyat Kedah yang menghadapi masalah bekalan air.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjalankan misi muhibbah iaitu agensi berkenaan bersetuju mengerahkan anggota dan asetnya untuk membantu rakyat Kedah yang memerlukan bantuan bekalan air dengan segera.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, Syarikat Air Darulaman (SADA) telah memohon pengaktifan 60 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) untuk menjalankan kerja pemasangan paip kecemasan dan pengagihan bekalan air.

Menurut beliau, 60 Rejimen Pakar Air RAJD Skuadron Pulau Pinang telah dikerah untuk melakukan kerja pemasangan paip kecemasan di Kota Setar, Gurun, Bukit Selambau dan Pendang.

“Daripada 26 anggota 60 RAJD Pulau Pinang, 24 adalah daripada PBAPP manakala dua yang lain dari pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Wilayah Utara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, berlaku pertikaian di antara kerajaan negeri Kedah dan kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung isu bekalan air melibatkan Sungai Muda.

Menurut Jaseni, operasi itu juga merangkumi penghantaran lori tangki air untuk mengagihkan air terawat kepada pengguna yang terjejas di Gurun, Merbok, Tg. Dawai, Semeling dan Sg. Lalang

“PBAPP juga telah menghantar lori tangki air 5,000 liter, dua buah van dan sebuah kenderaan pacuan empat roda ke Kedah,” katanya.

Tambahnya, skuadron juga terlibat dalam pengagihan air terawat melalui lori tangki air dari 21 Mac hingga 4 April ini kepada 30,000 pengguna di Gurun, Merbok, Tg. Dawai, Semeling dan Sg. Lalang.

Dalam pada itu katanya, bersama skuadron RAJD lain dari Kedah, Pahang dan Selangor, skuadron Pulau Pinang akan melakukan kerja pemasangan paip di Kedah dalam tempoh dari 21 Mac hingga 4 April ini.

“Antara kerja yang dilakukan adalah pemasangan saluran paip air 180 milimeter (mm) sepanjang satu kilometer (km) di Kampung Tanah 100 di Daerah Kota Setar; pemasangan saluran paip 125mm sepanjang 50 meter (m) di Kampung Risda di Gurun.

“Selain itu, turut dijalankan kerja pemasangan paip air 125mm sepanjang 200m di Kampung Anak Ikan, Bukit Selambau, untuk menggantikan paip lama yang pecah,” katanya.

Tambahnya, kerja-kerja pemasangan saluran paip 125mm sepanjang 150m di Kampung Bukit Chengal, Pendang dan pemasangan saluran paip air 180mm sepanjang 450m di Kampung Bendang Bukit, Pendang akan turut dijalankan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya