PAU 2020 berlangsung ikut kebiasaan baharu - Utusan Malaysia

PAU 2020 berlangsung ikut kebiasaan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Buat julung kalinya, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada hujung minggu ini akan berlangsung di dalam keadaan kebiasaan baharu secara hibrid iaitu gabungan bersemuka dan maya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia sekali gus mencatat sejarah parti itu sejajar musim Covid-19 apabila secara bersemuka berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) manakala secara maya pula dari 190 bahagian UMNO seluruh negara.

Katanya, ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; ucapan perasmian Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan serta ucapan ketua-ketua sayap seperti Wanita, Pemuda dan Puteri akan disiarkan melalui media sosial Facebook UMNO Online.

“Ucapan perbahasan perwakilan UMNO pula akan disiarkan secara dalaman melalui aplikasi Webex dengan perbahasan ini dijangka berkaitan ucapan dasar ketua-ketua sayap. Ucapan dasar Presiden dan ucapan dasar ketua sayap pula menyentuh isu berkaitan politik, ekonomi, sosial, agama, antarabangsa serta isu semasa lain seperti Covid-19 dan vaksin.

“PAU 2020 merupakan perhimpunan penting sempena Sambutan Jubli Intan 75 Tahun UMNO bagi meningkatkan semangat perjuangan. UMNO akan terus membela dan membantu rakyat serta sentiasa menyuarakan suara mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu Ahmad memaklumkan, PAU 2020 dimulakan pada Sabtu ini dengan Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri yang dirasmikan Timbalan Presiden UMNO.

Katanya, hari kemuncak adalah upacara menaikkan bendera oleh Presiden UMNO dan dihadiri barisan Ahli Majlis Tertinggi dan exco-exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada keesokan harinya.

“Upacara perasmian Perhimpunan Agung UMNO pukul 8.30 pagi di Dewan Merdeka, PWTC, yang mana acara kemuncaknya adalah ucapan dasar Presiden UMNO,” katanya.

Ahmad berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Wilayah Persekutuan meluluskan permohonan penganjuran PAU 2020 dan UMNO akan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) seperti mematuhi penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu, mengimbas MySejahtera dan sanitasi tangan.

Katanya, UMNO akan menambah anggota keselamatan seperti Rela dan Skuad Sabil bagi tujuan pematuhan SOP.

“Pemerhati orang awam dan ahli UMNO yang bukan perwakilan tidak dibenar menghadiri perhimpunan kali ini. Malah tidak akan ada gerai jualan dan food trucks dibenarkan beroperasi,” katanya.

Beliau berkata, 42 agensi media cetak dan elektronik memohon membuat liputan pada perhimpunan kali ini dan mereka tidak dibenarkan berada di dalam dewan persidangan seperti kebiasaan serta hanya boleh membuat liputan di laman media secara maya di bilik disediakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya