Pasport khas masuk muzium di Kelantan - Utusan Malaysia

Pasport khas masuk muzium di Kelantan

MD. Anizam Ab. Rahman (kiri) memunjukkan pasport pada majlis pelancaran Pasport Muzium di Gelanggang Seni, Kota Bharu. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan memperkenalkan pasport khas dalam usaha menggalakkan orang ramai mengunjungi sembilan muzium di bawah perbadanan itu di seluruh negeri ini.

Menariknya, pemilik pasport boleh mengunjungi mana-mana muzium terbabit tanpa dikenakan bayaran masuk sebagaimana biasa dan syarat tersebut terpakai tanpa sebarang had masa.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Mejar (B) Datuk Md. Anizam Ab. Rahman berkata, pasport untuk orang awam dan pelajar sekolah itu dijual pada harga RM10 setiap satu.

Katanya, menerusi pasport tersebut, pemiliknya menikmati penjimatan sebanyak RM18 setiap kali mereka mengunjungi sembilan muzium di Kelantan yang menetapkan bayaran RM2 untuk setiap kemasukan.

“Kita menyasarkan sebanyak 10,000 pasport dijual kepada pengunjung pada tahun ini.

“Melaluinya, pemilik boleh mengunjungi Muzium Negeri, Muzium Islam, Muzium Perang, Muzium Kraf, Istana Jahar, Istana Batu, Muzium Wau, Muzium Kuala Krai dan Balai Seni Lukis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Pasport Muzium yang turut dihadiri Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Ahmad Shorgawi Derahman di Gelanggang Seni di sini hari ini.

Menurut Md. Anizam, pasport itu dibahagikan kepada dua warna iaitu warna biru untuk orang awam manakala warna merah bagi pelajar sekolah.

Katanya, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan negeri untuk menggalakkan pelajar sekolah mengunjungi muzium di negeri ini sebagai markah tambahan dalam aktiviti kokurikulum mereka.

“Pasport ini akan turut dijual kepada pelancong domestik apabila pergerakan rentas negeri dibenarkan kelak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN