Pasaran telur CES 008 Lay Hong Berhad digantung sementara - Utusan Malaysia

Pasaran telur CES 008 Lay Hong Berhad digantung sementara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia memutuskan telur keluaran ladang CES 008 milik syarikat Lay Hong Berhad tidak dibenarkan dijual di pasaran tempatan sebagai telur sajian sehingga keputusan siasatan diperoleh.

JPV dalam satu kenyataan berkata, perkara itu dibuat susulan arahan Singapura mengarahkan empat pengimport menarik balik telur dihasilkan syarikat itu susulan pengesanan kehadiran bakteria Salmonella enteriditis (SE) yang boleh menyebabkan penyakit disebabkan makanan, jika makanan dimakan secara mentah atau separuh masak.

Katanya, JPV hari ini mengadakan libat urus dengan syarikat terbabit dan mendapati hanya satu ladang iaitu CES 008 yang mengeksport telur ke Singapura.

“Syarikat terbabit mempunyai 10 ladang ayam yang terdiri daripada dua ladang pullet dan lapan ladang ayam penelur di mana hasil daripada ladang CES 008 adalah untuk pasaran eksport ke Singapura.

“Berdasarkan penggantungan produk itu, JPV tidak membenarkan kemasukan semula telur CES 008 ke Malaysia. Bagaimanapun, penggantungan ke Singapura tidak menjejaskan pengeksportan lain ladang ke Singapura dan bekalan untuk pasaran tempatan,” katanya hari ini.

Kenyataan itu menyebut, JPV juga menjalankan lawat siasat dan pensampelan untuk pengujian SE ke atas semua ladang kepunyaan syarikat itu bagi memastikan telur keluaran ladang syarikat adalah bebas SE.

Katanya,daya jejak sumber jangkitan SE juga dilakukan bagi membolehkan penyiasatan penyakit serta menyemak rekod pemvaksinan, pengeluaran telur dan rekod program survelan penyakit di ladang.

“Selain itu, JPV menjalankan pensampelan seperti sampel persekitaran, kloaka, makanan ternakan, air minuman dan telur untuk pengesanan SE.

“Syarikat itu juga bersetuju untuk melaksanakan tindakan pembetulan dan pemantauan lebih kerap dan meningkatkan kawalan biosekuriti,” katanya.

Tambahnya, Salmonellosis merupakan salah satu penyakit yang dipantau di semua ladang ayam di Malaysia melalui Program Survelan Penyakit Haiwan Kebangsaan.

Semalam, Singapura mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik telur yang dihasilkan syarikat terbabit sebagai langkah berjaga-jaga, yang disiarkan melalui laman sesawang, Agensi Makanan Singapura (SFA).

Empat pengimport terbabit adalah Ang Seng Eggs Supplier, Dasoon Pte Ltd, Heng Guan Food Industrial Pte Ltd dan Lam Leng Trading Co.

Arahan itu dibuat berikutan penemuan SE pada produk itu yang boleh menyebabkan penyakit disebabkan makanan, jika makanan itu dimakan secara mentah atau separuh masak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya