KOTA BHARU: Pasar Terapung Lembangan Sungai Pengkalan Datu di sini mula beroperasi semula semalam (Sabtu) namun tidak meriah biarpun rentas daerah sudah dibenarkan.
Selain kurang pengunjung, tinjauan Utusan Malaysia juga mendapati tidak ramai peniaga keluar mencari rezeki dengan perahu masing-masing.
Pasa di pasar turut dikenali sebagai Pasar Tani Pelancongan.
Pengerusi Persatuan Warisan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (Waspada), Mohd. Asri Husin berkata, kehadiran pengunjung dan penyertaan peniaga merosot teruk selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Waspada akan memikirkan pendekatan lain bagi mempromosikan pasar terapung atau Pasar Tani Pelancongan yang menyediakan aktiviti pelancongan eko, agro, kesenian dan kebudayaan warisan sejarah.
“Kita berharap keadaan kembali pulih dan orang ramai akan datang melancong ke sini seperti biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Asri berkata, antara pendekatan terkini ialah memperkenalkan perkhidmatan melayari Sungai Pengkalan Datu menaiki cruise menuju ke Masjid ar-Rahman di Pulau Gajah.
Beliau yang juga pemilik Cerana Villa itu berkata, ketika PKP bulan lalu semua pekerjanya terpaksa meminta ‘berehat’ seketika.
“Mereka dipanggil semula bekerja sebaik kerajaan membenarkan orang ramai makan di kedai makan dan rentas daerah.
“Usaha untuk bangkit semula agak sukar dan mungkin memerlukan masa agak panjang,” katanya.
Mohd. Asri berkata, mulai Jumaat lalu, pihaknya sudah mula menerima tempahan untuk penginapan namun agak perlahan kerana rentas negeri belum dibenarkan. -UTUSAN ONLINE