KUALA TERENGGANU: Aktiviti perniagaan di pasar pelancongan terkemuka di negeri ini, Pasar Payang 2 kembali rancak selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas daerah.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, seawal pukul 9 pagi kenderaan sudah memenuhi kawasan parkir dan pengunjung mengambil peluang menikmati sarapan pagi di deretan medan selera di situ sebelum membeli-belah.
Suasana yang dahulunya suram berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) bertukar meriah, malah rata-rata peniaga ceria melayan pengunjung yang datang.
Seorang pekerja di kedai keropok GMR 105, Latifah Nurani Hamzah, 19, berkata, jualan di premis majikannya naik mendadak kepada lebih RM700 sehari berbanding sebelumnya yang ibarat kais pagi makan pagi.
“Sebelum ini untuk mencapai jualan RM100 sehari pun susah tetapi situasi berubah selepas boleh merentas daerah.
“Jualan keropok paling laris hingga bos saya terpaksa menambah bekalan kira-kira 30 kilogram pada setiap minggu untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya ketika ditemui.
Jumlah pengunjung ke Pasar Payang 2 merudum kira-kira 70 peratus sejak pelaksanaan PKPB di negeri ini pada Januari lalu.
Sementara itu, seorang peniaga barangan alatan dapur, Azizah Ali, 70, lega dapat meraih pendapatan sehingga RM500 sehari menerusi jualan pinggan mangkuk ayan dan mangkuk tingkat yang kini menjadi rebutan ramai.
Katanya, walaupun sudah bertahun-tahun menjual barangan itu tetapi sambutannya tiba-tiba laris selepas ditularkan ikon fesyen ternama tanah air, Datuk Rizalman Ibrahim baru-baru ini.
“Setakat ini cuma berniaga pinggan mangkuk ayan di kedai kerana saya tidak pandai menjual dalam talian tetapi saya ada menerima tempahan daripada pelanggan kebanyakan di Kuala Lumpur,” katanya. – UTUSAN ONLINE