Pasar karat dibuka semula, peniaga harap SOP mesra pengunjung - Utusan Malaysia

Pasar karat dibuka semula, peniaga harap SOP mesra pengunjung

PEMANDANGAN dari udara Bazar Johor Bahru yang sering menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negara yang terletak di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru di Johor. -IHSAN/Persatuan Peniaga Berwawasan Bazar Johor Bahru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bazar Johor Bahru yang lebih dikenali sebagai Pasar Karat Johor Bahru akan memulakan kembali operasi perniagaan Selasa ini selepas terpaksa ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 13 Januari lalu.

Sejak tempoh penutupan, kira-kira 200 peniaga yang mencari rezeki di bazar berkenaan buntu apabila punca pendapatan hampir 80 peratus peniaga yang berniaga sepenuh masa di situ terputus seketika.

Kini, mereka menarik nafas lega apabila Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengumumkan pembukaan semula operasi Pasar Karat setelah PKP kali kedua ditamatkan pada 4 Mac dan disambung dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu, Johor Bahru (PPPPIKMJB) yang menyambut baik pengumuman itu mengharapkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) dikaji semula.

Setiausahanya, Mohammad Salezan Mohd. Salleh berkata, golongan peniaga akur dengan SOP ditetapkan, namun, meminta pihak berkaitan mengkaji semula beberapa aspek kerana ada antaranya menyukarkan peniaga dan pengunjung terutamanya bagi golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Kami berterima kasih kepada MBJB kerana mengumumkan pembukaan semula Bazar JB bermula dari 6 petang sehingga 12 tengah malam, tetapi, kami memohon pertimbangan agar melihat semula keperluan akses seperti yang ditetapkan sebelum ini.

“Misalnya, hanya satu pintu keluar dan masuk sahaja dibenarkan untuk pengunjung ke sini dan ia berbeza laluan. Pintu masuk bermula dari penghujung jalan Tan Hiok Nee berdekatan pejabat pos dan pintu keluar di hadapan OCBC bank.

“Akibatnya, pengunjung terpaksa berjalan hampir keseluruhan Bazar JB dengan anggaran melebihi 500 meter. Pelaksanaan SOP ini telah dilakukan sejak Bazar JB beroperasi semula pada Julai tahun lalu selepas PKP 1.0 ditamatkan,” katanya di sini, hari ini.

Mohammad Salezan berkata, mereka mengakui pelaksanaan SOP yang ketat perlu dibuat, tetapi, mungkin ada pendekatan atau mekanisma yang lebih praktikal serta berkesan untuk dilaksanakan bagi membolehkan ia lebih mesra pengunjung.

Ujar beliau, kesan daripada pelaksanaan SOP terbabit, kehadiran pengunjung serta perniagaan di Bazar JB telah merosot sama sekali walaupun mereka dibenarkan untuk beroperasi. 

Sehubungan itu, PPPPIKMJB berpendapat, pintu keluar dan masuk perlu dibuka lebih daripada satu pintu seperti di jambatan Sungai Segget yang berhampiran pejabat Direktorat Penguatkuasa MBJB selain pintu sedia ada dijadikan laluan keluar dan masuk.

“Kami percaya dengan kebijaksanaan MBJB, setelah mengkaji serta membuat keputusan, permasalahan ini dapat diatasi tanpa mengabaikan SOP yang perlu dipatuhi semua pihak ketika berada di Bazar JB,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya berharap rintihan dan keluhan peniaga yang terjejas perniagaan mereka akan mendapat perhatian MBJB. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN