PETALING JAYA: Orang ramai dan peniaga sekitar Pasar Datuk Keramat dekat sini, gempar apabila pasar itu tiba-tiba terbakar petang ini.
Kejadian kira-kira 5.30 petang itu memusnahkan lebih 40 gerai yang terletak di dalam kawasan pasar besar tersebut.
Tiada kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan.
Komander Operasi Kanan, Mohd. Suhaimi Mohd. Razali berkata, jentera dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat, BBP Setapak, BBP KLCC, BBP Hang Tuah dan BBP Wangsa Maju ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
“Ketika tiba, kita mendapati api marak melibatkan deretan kedai.
“Operasi memadam kebakaran sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, majoriti peniaga di kawasan Pasar Datuk Keramat adalah dalam kalangan bumiputera yang menjual barang basah, makanan, pakaian dan perkakas rumah.
Kejadian itu turut tular dalam media sosial apabila video menunjukkan orang ramai berusaha memadam kebakaran besar yang memusnahkan deretan gerai beratap zink itu.- UTUSAN ONLINE