Pasangan mualaf perlukan RM80,000 bagi rawatan kanser - Utusan Malaysia

Pasangan mualaf perlukan RM80,000 bagi rawatan kanser

MUZAFFAR Abdullah (kiri) menjaga isterinya, Maisarah Abdullah yang menghidap kanser tulang ketika ditemui di kediaman mereka di Jalan Genuang, Segamat, Johor. -UTUSAN/ FARAHWAHIDA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Lelaki mualaf memerlukan bantuan orang ramai bagi mengumpul dana sebanyak RM80,000 dengan kadar segera bagi rawatan kanser tulang isterinya yang kini berada pada tahap tiga.

Muzaffar Abdullah, 51, memerlukan dana tersebut bagi merawat penyakit kanser tulang yang dihidapi isteri, Maisarah Abdullah, 48, sejak 2019 yang sebelum itu disahkan menghidapi kanser usus. 

“Isteri saya sebelum ini telah menghidap kanser usus sejak 2017 dan telah selesai menjalani rawatan kimoterapi sebanyak enam kali pada tahun 2019. Saya telah menghantar isteri ke Hospital Segamat dan Hospital Melaka bagi rawatan tersebut.

“Selepas itu, isteri mengadu mengalami sakit-sakit di bahagian kaki dan menyangka ia hanyalah kesan sampingan rawatan kimoterapi yang dilakukan sebelum ini, tetapi, sejak tiga minggu lalu, kakinya bengkak dan dia tidak mampu lagi berdiri dan berjalan seperti biasa,” katanya di sini, hari ini. 

Menurut Muzaffar, setelah ke hospital semula baru-baru ini, doktor pakar mengesahkan kanser usus isterinya telah merebak ke tulang pula.

“Sebagai seorang suami, luluh hati saya mendengar berita itu. Jadi, sekarang, doktor perlu merawat kanser tulang pula,” katanya dalam nada sayu ketika ditemui di kediamannya di Jalan Genuang.

Kedua-dua mereka yang merupakan pasangan mualaf menjalankan perniagaan kecil-kecilan, Chinese Muslim Food Muzaffar Lo dengan menjual makanan halal Cina muslim di gerai makan yang di sewa di Jalan Genuang bagi menampung perbelanjaan harian dan kos rawatan isterinya. 

Pasangan itu telah memeluk Islam pada 28 Oktober 2011 apabila Muzaffar bermimpi melihat seorang lelaki berpakaian putih sedang solat selama tiga malam berturut-turut pada malam Rabu, Khamis dan Jumaat. 

Bermula peristiwa itu, dia bersama isterinya terbuka hati memeluk Islam sewaktu anak mereka berusia tiga bulan. 

Bagai jatuh ditimpa tangga, pasangan ini telah hilang punca mata pencarian utama mereka apabila terpaksa menutup perniagaan buat sementara waktu apabila Muzaffar perlu menjaga isterinya yang terlantar dan anak mereka, Muaz, 10, yang terpaksa dicutikan daripada sekolah sejak Maisarah terlantar sakit. 

“Saya sudah tiga minggu tidak meniaga sejak isteri saya tak boleh berjalan, tiada orang menjaga isteri dan anak saya jika saya meniaga. Tambahan, isteri saya yang banyak membantu saya di kedai selama ini,” katanya. 

Walaupun perniagaannya tidak beroperasi, Muzaffar masih perlu membayar sewa kedai sebanyak RM380 dan sewa rumah sebanyak RM450 sebulan disamping bil utiliti kedai dan rumah serta perbelanjaan harian mereka tiga beranak. 

Terdahulu, Pengerusi Persekutuan Angkat Berat Malaysia, Datuk Ayub Rahmat yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah membuat lawatan dan memberikan sumbangan kepada keluarga tersebut.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Muzaffar di talian 011-3633 5233 atau terus menyumbang ke akaun Bank Islam 0604-6020-2321-09 atau Maybank 1623-9379-8201.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN